Tiada rakyat Malaysia di Korea Selatan dilaporkan dijangkiti COVID-19 setakat ini, ujar Duta Besar Malaysia ke Korea Selatan, Datuk Mohd Ashri Muda.

Bagaimanapun, mereka diingatkan agar sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan kerajaan republik itu.

"Kita sentiasa mengikuti perkembangan mereka dan memberi nasihat agar mematuhi segala peraturan yang dikeluarkan oleh pihak Korea termasuk penjarakan sosial, memakai topeng muka dan mematuhi semua peraturan pihak Korea agar mereka bebas COVID-19. Sehingga sekarang tiada rakyat Malaysia yang dijangkiti COVID-19," katanya semasa dihubungi Astro AWANI melalui Skype pada Jumaat.

Ketika ini katanya, seramai 1,624 rakyat Malaysia termasuk 561 pelajar yang mendaftar dengan kedutaan berada di Korea Selatan.

"Namun, kalau kita tengok rekod yang dikeluarkan Korea terdapat lebih 4 ribu rakyat Malaysia. Maknanya ramai lagi yang belum mendaftar," ujarnya lagi.

Kesemua mereka ketika ini berada dalam keadaan baik di sebalik situasi COVID-19 yang melanda dunia ketika ini.

Dalam pada itu katanya, Kerajaan Korea Selatan turut menghargai kepentingan warga asing di negara itu memandangkan mereka adalah penyumbang kepada pembangunan ekonomi.

"Jadi Kerajaan Korea menjaga dengan baik warga asing, antaranya mereka sediakan rawatan dan ujian COVID-19 secara percuma. Warga asing juga menerima bantuan kecemasan wang tunai. Nampaknya rakyat asing berpuashati dengan layanan Kerajaan Korea di sini," tambahnya.

Selain itu katanya, Korea Selatan menggunakan sepenuhnya teknologi mereka untuk mengesan kontak rapat indvidu yang positif COVID-19.
BACA SEMUA BERKAITAN COVID-19 DI SINI



"Di sini tiada lockdown kerana mereka menggunakan teknologi itu untuk mengawal penularan COVID-19," ujar beliau lagi.

Pada masa sama, ujian COVID Pandu Lalu turut dilakukan bagi mengawal penularan COVID-19.

"Selain itu, disiplin rakyat Korea tinggi dan mematuhi peraturan pihak kerajaan Korea. Mungkin kerana budaya mereka, kalau mereka nak buat sesuatu, mereka akan buat sebaik mungkin," kata beliau.

Pada 28 Ogos 2020 , sebanyak 371 kes baharu COVID-19 dengan tiga kematian dicatatkan di Korea Selatan.

Ia menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di republik itu setakat ini adalah sebanyak 19,077 kes, dengan 316 kematian.