BUTTERWORTH: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang menahan sebuah kontena dagangan berisi aiskrim dari Taiwan bernilai RM355,874 yang didapati tidak mempunyai permit import MAQIS yang sah, dan mengarahkan supaya ia dikembalikan ke negara asal, hari ini.

Dalam kenyataannya, MAQIS memaklumkan, ais krim seberat 3,772 kilogram itu dikesan semasa pihaknya menjalankan pemeriksaan rutin di Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth (NBCT) di sini pagi ini.

MAQIS mengingatkan semua pemain industri agar sentiasa merujuk serta mematuhi syarat-syarat perdagangan, dan import tanpa mendapat permit adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728]. - BERNAMA