SERIAN: Sarawak yang dahulunya bergantung kepada hasil eksport kayu balak sebagai sumber pendapatan sehingga mewujudkan apa yang dikatakan sebagai politik kayu balak, kini sudah melangkah ke satu era baru yang mengutamakan usaha restorasi kawasan hutan.


Ringkasan AI
  • Sarawak kini beralih dari bergantung pada hasil eksport kayu balak kepada restorasi hutan sebagai sumber pendapatan baru melalui perdagangan karbon.
  • Kerajaan Sarawak berjaya mengurangkan kadar pembalakan sebanyak dua juta meter padu setahun dan mengekalkan 62% kawasan hutan negeri ini.
  • Premier Sarawak, Abang Johari, menghargai usaha Jabatan Hutan dalam konservasi hutan dan pembangunan Pusat Agroperhutanan Sabal untuk penyelidikan, rekreasi, dan pelancongan.


Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata Sarawak kini sudah memasuki era menjadikan restorasi hutan ini sebagai penjana pendapatan baharu kepada Sarawak, khususnya dalam perdagangan karbon dunia.

"Pendapatan kita dulu bergantung kepada kayu balak, sebab itu politik dahulu adalah politik kayu balak. Sekarang kita ubah, kita tidak bergantung kepada kayu (balak)," katanya semasa berucap pada Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2024 peringkat Sarawak di Pusat Agroperhutanan Sabal, kira-kira 60 kilometer dari sini, hari ini.

Menurutnya kerajaan Sarawak juga berjaya mengurangkan kadar pembalakan di negeri itu sebanyak kira-kira dua juta meter padu setahun hasil dasarnya untuk mematuhi keperluan pensijilan pengurusan hutan untuk kedua-dua hutan asli dan hutan ladang.

"Saya mahu industri (pemain) tahu mengapa kita mengurangkan eksport kayu balak, mengapa kita tidak menggalakkan penebangan pokok balak, kerana sekarang kita mempunyai alternatif untuk (membangunkan) ekonomi kita," katanya.

Abang Johari berkata dasar yang diambil Sarawak sekarang turut membolehkannya mengekalkan kira-kira 62 peratus kawasan hutan di negeri ini.

Menurutnya Sarawak kini mempunyai 26 Unit Pengurusan Hutan yang telah dipersijilkan merangkumi keluasan 2.38 juta hektar dan tujuh Unit Pengurusan Ladang Hutan meliputi keluasan 97,966 hektar.

Dalam pada itu, Abang Johari menyatakan penghargaan beliau kepada Jabatan Hutan Sarawak kerana cemerlang bukan sahaja dalam usaha konservasi hutan tetapi dalam menambah nilai dan pendekatan baru bagi mengimbangi pembangunan dan pemeliharaan alam sekitar.

Beliau turut bersetuju dengan cadangan Pengarah Jabatan Hutan Sarawak Datuk Hamden Mohamad untuk membangunkan Pusat Agroperhutanan Sabal itu sebagai sebuah pusat pelbagai guna, khususnya bagi tujuan penyelidikan hutan, aktiviti rekreasi dan pelancongan.

Menurutnya pembangunan pusat berkenaan yang dianggarkan menelan kos RM50 juta itu mampu menjadi antara destinasi tarikan di Serian apabila ia disiapkan kelak sebagai projek jabatan itu di bawah Rancangan Malaysia ke-13.

-- BERNAMA