Bank Negara tidak akan menambat nilai ringgit seperti yang pernah dilakukan sewaktu krisis kewangan Asia 1997/98 yang lalu.

Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, berkata ini kerana Malaysia mempunyai regim tukaran asing yang fleksibel bagi memudahkan penyelarasan ekonomi mengikut perubahan global.

“Sekiranya tukaran asing tidak fleksibel, Malaysia akan terjejas teruk sekiranya berlaku kejutan luaran,” katanya kepada pemberita pada pengumuman KDNK suku kedua di ibu negara hari ini.

Dr Zeti berkata, fokus kini adalah meningkatkan eksport yang sepatutnya menikmati kesan positif ekoran kelemahan ringgit sekaligus memberikan lebihan akaun semasa kepada ekonomi yang menjadi antara faktor terpenting.

“Jika kita berada dalam defisit akaun semasa, tekanan adalah lagi besar,” katanya.

Tambah Zeti, Malaysia sudah mempelbagaikan sumber pendapatan negara untuk tidak terlalu bergantung kepada kepada hasil minyak dan gas.

“80 peratus sumbangan adalah perkhidmatan dan ini akan terus menyokong ekonomi,” tambah Zeti.

Tambahnya Malaysia mempunyai asas ekonomi kukuh hasil langkah yang dijalankan selama ini termasuk mempunyai simpanan rizab mencukupi bagi berdepan persekitaran tidak menentu.

“Sudah tentu rizab menurun apabila kita sokong ringgit namun kita kembali berusaha meningkatkan jumlah rizab, dan ia dilakukan sejak krisis 1998," katanya lagi.

Malaysia juga mempunyai sistem kewangan yang kukuh termasuk pengantaraan wang yang kukuh untuk menyokong aktiviti ekonomi termasuk akses luas kepada pembiayaan perniagaan.

Zeti yakin, kelemahan ringgit yang disebabkan faktor sentimen domestik dan luaran hanya sementara seperti yang pernah disaksikan sewaktu Amerika Syarikat mengumumkan penghentian program pembelian bon.

“Saya percaya sekiranya persekitaran luaran bertambah baik dan isu domestik diselesaikan, nilai ringgit akan kukuh berdasarkan asas ekonomi,” katanya.

Bank Negara tidak akan tambat ringgit