KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menegaskan bahawa Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) tidak pernah menyebut Malaysia mengalami masalah ekonomi yang boleh menyebabkan muflis, sebaliknya ia yakin dengan prospek pertumbuhan ekonomi negara.

Tengku Zafrul berkata demikian menerusi paparan video di akaun Instagram beliau hari ini sebagai mengulas mengenai video tular yang mendakwa Malaysia memerlukan bantuan kewangan IMF serta berdepan risiko untuk muflis.

Sambil menyifatkan video tular berkenaan sebagai "lebih kepada auta berbanding fakta," beliau berkata kerajaan Persekutuan juga tidak pernah mengupah atau melantik mana-mana pihak perunding untuk mengurus kewangan negara.

Menurutnya, perkara paling penting adalah Malaysia sentiasa disiplin dalam menyempurnakan tanggungjawab pembayaran hutang dan tidak pernah gagal membayar faedah serta hutang yang telah matang.

"IMF sendiri mengakui kedudukan hutang Malaysia di paras terurus...jadi adakah IMF dibayar oleh firma rundingan untuk berkata demikian?

"Jika kita bandingkan indikator ekonomi Malaysia dengan beberapa negara lain, adalah jelas bahawa ekonomi negara kekal kukuh walaupun terpaksa berhadapan dengan cabaran pandemik COVID-19 serta ketegangan geopolitik yang mengakibatkan peningkatan harga bahan api dan makanan.

"Jadi, kemungkinan untuk negara muflis dan perlu meminjam dengan IMF adalah tidak benar sama sekali," katanya.

Beliau menjelaskan, setakat akhir Jun 2022, paras hutang satutori negara adalah sekitar 60 peratus yang jauh lebih rendah berbanding had ditetapkan iaitu 65 peratus.

"Dalam hal ini, 97.5 peratus pinjaman negara juga adalah dalam nilai ringgit. Oleh itu tiada keperluan bagi negara untuk meminjam daripada IMF.

"Kebolehan sesebuah negara ntuk meningkatkan jumlah pinjamannya bukanlah bergantung semata-mata kepada nisbah hutang kepada keluaran dalam negara kasar, tetapi kemampuan keberhutangan dan kemampanan hutang.

"Sekali lagi, asas ekonomi negara kekal kukuh dan dijangka akan betambah baik pada suku ketiga tahun ini," jelas beliau.

Tengku Zafrul berkata, pelbagai indikator ekonomi seperti jualan perdagangan runcit dan borong, pengangguran, pengeluaran perindustrian dan perdagangan luar negara juga terus menunjukkan perkembangan baik sepanjang tahun.

Selain itu, trend membabitkan kes muflis individu juga tidak meningkat sebaliknya semakin menurun sejak 2016.

Menurutnya, ini termasuk sewaktu tempoh Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang meningkat pada 2018 dengan jumlah golongan belia muflis juga menunjukkan trend penurunan sama pada tahun tersebut.

"Sebanyak 5,283 kes muflis direkodkan yang diikuti dengan penurunan kepada 3,948 kes pada 2019; 2,844 kes pada 2020; 1,884 kes pada 2021 dan 515 kes bagi tempoh Jan-April lepas," katanya.

Jelas Tengku Zafrul, rata-rata peminjam juga telah beransur-ansur keluar daripada program bantuan bayaran balik pinjaman dan trend ini bertambah baik pada suku pertama 2022 apabila jumlah itu meningkat kepada sekitar 92 peratus daripada tahap bayaran balik pinjaman sebelum pandemik.

Beliau turut menyangkal dakwaan bahawa kadar pengangguran negara semakin meningkat yang disifatkannya sebagai tidak benar.

"Jika kita lihat kadar pengangguran tahun ini menunjukkan penurunan pada April dan Mei iaitu 3.9 peratus, Jun (3.8 peratus) dan Julai 3.7 peratus -- kadar terendah berbanding nilai tertinggi pada Mei 2020 pada 5.3 peratus.

"Sebenarnya, kadar pengangguran telah beransur-ansur turun selama 12 bulan berturut-turut," katanya.

-- BERNAMA