Tiada individu bergelar Tun yang tersenarai dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setakat ini bagi penyalahgunaan kuasa mahupun amalan rasuah, kata Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Dzulkifli Ahmad.

Katanya SPRM sentiasa mempertingkatkan siasatannya dan telah menahan beberapa individu bergelar Tan Sri, Datuk Seri dan Datuk namun belum ada kertas siasatan dibuka terhadap mereka yang mendapat gelaran tertinggi kerajaan itu.

"Kadang-kadang (memang) ada aduan (diterima) tetapi kami tidak buka kertas siasatan. Aduan itu tidak semestinya cukup bukti untuk (membolehkan kami) membuka kertas siasatan," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan ucaptama di Seminar Graduan Holistik 2017 di sini.

Dzulkifli berkata kenyataannya dalam ucapan itu bagi menggambarkan SPRM tidak memilih dalam menjalankan tanggungjawabnya untuk mengheret sesiapa sahaja yang terlibat rasuah dan salah guna kuasa ke muka pengadilan.

"(Kenyataan dalam ucaptama) itu cuma perumpamaan ataupun kata-kata sambil lalu sahaja...bukan bermaksud kami ada siasatan terhadap mana-mana (individu bergelar) Tun," katanya.

Seramai kira-kira 120 anggota Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dari beberapa universiti seluruh negara mengambil bahagian dalam seminar yang dianjurkan bersama Universiti Malaysia Perlis, Kementerian Pendidikan Tinggi dan SPRM.

-- BERNAMA