KUANTAN: Semakan udara menggunakan dron mendapati tiada sebarang aktiviti pembalakan secara sah atau haram di Hutan Simpan (HS) Lentang, tanah kerajaan serta tanah milik berhampiran Jalan Bentong-Karak dan Jambatan Sri Telemong di Bentong.
Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menerusi kenyataan malam tadi, memaklumkan semakan di kedua-dua lokasi mendapati sisa kayu yang berselerak di atas jalan dan jambatan itu yang dikaitkan dengan aktiviti pembalakan menerusi media sosial, merupakan sisa sampah sarap daripada kejadian kepala air di Sungai Temeriak, Sungai Kerau dan Sungai Timbul yang berlaku pada 18 Dis lepas.
"Semakan mendapati berlaku kejadian kepala air di dua lokasi itu bermula di HS Lentang akibat hujan lebat berterusan selama tiga hari bermula 16 Dis hingga banjir besar di Bentong pada 18 Dis lepas, yang disokong data taburan hujan Jabatan Pengairan dan Saliran Bentong dengan mencatatkan bacaan purata 155 milimeter (mm) pada 18 Dis serta dikategorikan sebagai sangat lebat.
"Semakan udara juga mendapati banyak kesan tanah runtuh di kawasan berbukit di dalam HS Lentang, tanah kerajaan dan tanah milik yang membawa sisa sampah sarap terdiri daripada tanah-tanih, batu-batan dan pokok-pokok yang hanyut masuk ke dalam Sungai Temeriak, Sungai Kerau dan Sungai Timbul akibat arus air yang sangat kuat menghentam di sepanjang laluan sungai tersebut," menurut kenyataan itu.
Menurut JPNP, semakan di lapangan turut menemukan pelbagai sisa batang pokok dan kayu terdiri daripada pelbagai spesies antaranya pokok hutan, durian, getah dan kelapa sawit yang memberikan gambaran bahawa arus air sungai yang deras turut membawa sampah sarap dari kawasan luar HS Lentang.
BACA: Pascabanjir: 'Gelombang kedua banjir di Janda Baik datang dengan puing balak' - Mangsa
Banjir Pahang | Jabatan Perhutanan Pahang nafi berlaku aktiviti pembalakan
Kejadian kepala air di dua lokasi itu, menurut JPNP tiada kena mengena dengan aktiviti pembalakan di tanah kerajaan Sungai Gapoi seperti dakwaan sesetengah pihak kerana jaraknya adalah sejauh 16 kilometer (km) dari Jambatan Telemong dan 23 km dari jalan Bentong-Karak.
Selain itu, tinjauan di lokasi semalam mendapati air Sungai Gapoi jernih dan tiada kesan kepala air.
JPNP juga memaklumkan bahawa HS Lentang telah diwartakan sebagai Hutan Tadahan Air sejak 2002 menyebabkan tiada aktiviti pembalakan dibenarkan selain kawasan seluas 30 hektar dalam hutan itu telah dijadikan sebagai petak Hutan Pemuliharaan Bernilai Tinggi (HCVF) pada 2012 yang bermaksud kawasan Hutan Perlindungan yang tidak boleh dijalankan sebarang aktiviti pembalakan.
Berhubung sisa kayu itu, JPNP berkata tindakan lanjut akan dilakukan bagi memastikan sisa itu dialihkan segera dan dilupuskan mengikut peruntukan Akta Perhutanan Negara (APN) 1984 selain tinjauan lanjut menggunakan helikopter akan dibuat pada awal Januari bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai isu dan lokasi kejadian kepala air dalam HS Lentang.
JPNP juga mencadangkan kawasan tanah kerajaan yang tidak diusahakan, yang bersempadan dengan HS Lentang diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal di bawah Seksyen 10 APN 1984 supaya kerja pemulihan seperti penghutanan semula dapat dilaksanakan bagi mengelakkan kejadian serupa berlaku di masa hadapan.
Selain itu, JPNP juga menyarankan pelaksanaan penguatkuasaan pematuhan zon penampan sungai di sepanjang sungai yang dibangunkan oleh agensi, syarikat atau orang awam bagi mengelakkan berlaku hakisan lebih serius.
-- BERNAMA
Bernama
Wed Dec 29 2021
Semakan JPNP menemukan pelbagai sisa batang pokok dan kayu, memberikan gambaran bahawa arus air sungai yang deras turut membawa sampah sarap dari luar HS Lentang. - Gambar fail BERNAMA
Elak penganjuran program cetus polemik, gugat Islam - Mohd Na'im
Sebarang acara atau program yang boleh mencetuskan polemik dan menggugat kedaulatan agama Islam perlu dielakkan sama sekali.
Konvoi motosikal untuk solidariti kepada Gaza
Langsung dari Rosco Cage, Jalan Raja Abdullah, Kuala Lumpur di mana Wartawan Faida Rahim bersama tetamu, Muhammad Aiman Mohd Zain, MyCare Malaysia di acara konvoi motosikal Seru For Gaza di Cafe Rosco sebagai cerminan sokongan kepada saudara sesama Islam di Gaza, yang sudah setahun diganasi rejim Israel.
KPT akan pastikan capaian internet di IPTA berada di tahap tertinggi - Zambry
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang berusaha memastikan capaian Internet di semua Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) berada pada tahap tertinggi.
Bomba selamatkan tiga subkontrakor terkandas di kren pengangkat
Seramai tiga orang subkontraktor terkandas di kren pengangkat (skylift) yang rosak ketika melakukan kerja pemasangan papan tanda kedai di Wisma Taiko, berhadapan Ipoh Padang, malam tadi.
Lempar bom petrol, polis buru tiga Ah Long
Polis sedang memburu tiga individu disyaki Ah Long yang melempar bom petrol ke sebuah rumah di Taman Bintang, Pantai Remis.
Penguasaan bahasa tidak harus bersifat ''zero-sum game'' - PM Anwar
Perdana Menteri mengingatkan penekanan terhadap sesuatu bahasa tidak seharusnya bersifat 'zero-sum game'', sehingga meminggirkan Bahasa Melayu.
Presiden Perancis seru penghantaran senjata ke Israel dihentikan
Presiden Perancis Emmanuel Macron pada Sabtu menyeru agar penghantaran senjata ke Israel dihentikan.
AWANI Ringkas: 12 rakyat Malaysia tiba dari Lubnan hari ini
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang hari di Astro AWANI menerusi AWANI Ringkas.
Bekas rakan sepasukan Cristiano Ronaldo teruja mulakan cabaran dengan JDT
Penyerang baharu Johor Darul Ta'zim (JDT), Jese Rodriguez, teruja untuk memulakan cabaran bersama kelab itu.
Menjelang setahun serangan Israel, Rosco anjur konvoi solidariti untuk Gaza
Rosco menganjurkan konvoi motorsikal jenis Cafe Racer di sekitar Lembah Klang sebagai tanda solidariti perjuangan rakyat Palestin.
Tiada aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Lentang - JPNP
Sisa kayu itu merupakan sampah sarap daripada kejadian kepala air di Sungai Temeriak, Sungai Kerau dan Sungai Timbul pada 18 Dis lalu.