KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu akan menyiasat kesahihan video tular yang memaparkan suasana konsert bercampur lelaki dan wanita, didakwa diadakan di dewan sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri Datuk Satiful Bahri Mamat berkata setakat ini pihaknya belum menerima sebarang aduan daripada mana-mana pihak berkaitan perkara itu.

Beliau berkata bagaimanapun kerajaan negeri berasa amat kesal sekiranya perkara itu benar-benar berlaku kerana ia melanggar garis panduan hiburan yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri.

"Perkara itu (konsert) tak sepatutnya berlaku dalam universiti. Kita dah agihkan garis panduan kepada semua jabatan di Terengganu.

"Lagipun ini di bawah jawatankuasa yang sama dan saya sendiri selaku pengerusi dan Exco pengajian tinggi," katanya ketika ditemui pada program Kick-Off BsAs Aeronautics UAV di sini hari ini.

Menurut Satiful Bahri garis panduan hiburan yang ditetapkan oleh kerajaan negeri perlu dipatuhi oleh semua pihak walaupun berlangsung dalam kawasan persendirian.

"Walaupun dalam kawasan persendirian, ia masih terikat dengan garis panduan dasar-dasar kerajaan negeri yang meletakkan asas pematuhan syariah.

"Saya akan semak semula (video tular) sebab saya pun baru dapat maklumat itu," katanya.

Hari ini tular satu video berdurasi 37 saat menerusi laman sosial yang memaparkan satu konsert tanpa pengasingan tempat duduk antara lelaki dan wanita yang dikatakan di dalam dewan sebuah IPTA di Terengganu.

-- BERNAMA