Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata larangan itu berkuat kuasa mulai semalam hingga 30 Mac ini.
Beliau berkata peraturan itu bertujuan menghormati dan memelihara kemuliaan 10 malam terakhir Ramadan.
"Perkara ini telah dimaklumkan kepada semua pemilik premis perniagaan dan pasar raya yang menjadi lokasi persembahan 'busking' di seluruh Terengganu.
"Surat juga telah dihantar kepada semua penganjur bazar Ramadan, pesta moreh dan bazar Aidilfitri seluruh Terengganu," katanya ketika dihubungi hari ini.
Wan Sukairi berkata mana-mana pihak yang didapati melanggar peraturan berkenaan akan berdepan tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa tempatan.
Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak menghormati dan mematuhi peraturan ditetapkan.
Terengganu sebelum ini mengarahkan semua aktiviti persembahan muzik jalanan hanya dijalankan selepas solat tarawih dengan pemilihan lagu berunsur ketuhanan.
Persembahan pula hanya membabitkan penyanyi lelaki manakala golongan wanita dilarang keras daripada terlibat dalam aktiviti terbabit.
-- BERNAMA
