KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah kepada beregu campuran negara Cheng Tang Jie-Toh Ee Wei yang menjuarai badminton Terbuka Korea 2024 hari ini.

Beliau menyifatkan kejayaan itu hadiah istimewa untuk Malaysia sempena Hari Kebangsaan semalam, selain turut menjadi pembakar semangat dan permulaan kepada kejayaan yang seterusnya.

"Kejayaan ini membuktikan semangat juang yang tinggi dan dedikasi mereka, yang tidak pernah kenal erti penat lelah.

"Saya sentiasa mendoakan yang terbaik buat mereka di masa hadapan. Teruskan berjuang dan mengharumkan nama negara!," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.



Ia merupakan kejayaan pertama Tang Jie-Ee Wei muncul juara pada kejohanan berstatus Super 500 selepas muncul naib juara Masters Thailand 2024 (Super 300) dan Terbuka Switzerland 2024 (Super 300).

Pada perlawanan akhir di Stadium Tertutup Mokpo Seoul, Korea Selatan hari ini, gandingan kesembilan dunia itu terpaksa bermandi peluh, sebelum menoktahkan kemenangan 17-21, 21-13, 21-13 menewaskan Guo Xin Wa-Li Qian dari China.

Sementara itu Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh turut mengucapkan tahniah kepada pasangan itu menerusi hantaran di Facebook dengan gambar Tang Jie-Ee Wei dan hashtag #KitaSemuaTeamMAS.

"Tahniah Cheng Tang Jie dan Toh Ee Wei atas kemenangan di Terbuka Korea 2024," menurut hantaran itu.



Turut berkongsi kejayaan beregu campuran itu ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dengan berkongsi hantaran dimuat naik Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di akaun Facebook beliau.

"Tiga kali masuk final, akhirnya menang juga!, Cheng Tang Jie-Toh Ee Wei. Juara beregu campuran Terbuka Korea," katanya.


Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah kepada beregu campuran negara Cheng Tang Jie-Toh Ee Wei yang menjuarai badminton Terbuka Korea 2024 hari ini.

-- BERNAMA