Malaysia menghentikan pengeksportan ikan terutama ke Singapura dan Thailand bermula bulan ini sebagai persediaan menghadapi kemungkinan berlaku kekurangan bekalan dalam negara pada musim tengkujuh.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub berkata pemberhentian eksport itu melibatkan beberapa jenis ikan seperti cencaru, selar, selayang dan kembung.

Dua negara itu merupakan pengimport terbesar ikan dari negara ini.

"Kita sudah keluarkan arahan supaya ikan keperluan rakyat tidak dibenarkan dieksport menjelang musim tengkujuh sehingga habis musim tengkujuh bagi mempastikan bekalan ikan mencukupi.

"Selain itu, kita juga akan keluarkan arahan pelaksanaan program ikan sejuk beku oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) jika berlaku kekurangan bekalan ikan dalam negara ketika musim itu," katanya dalam sidang media selepas melancarkan buku '100 Birds of National Botanic Garden Shah Alam' di Taman Botani Negara di sini hari ini.

Sejumlah 1,500 naskhah pertama buku berkenaan diedarkan secara percuma kepada sekolah di seluruh negara.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata kejadian banjir lumpur dan tanah runtuh di Cameron Highlands baru-baru ini tidak menjejaskan bekalan dan harga sayur berikutan kawasan tanah tinggi itu hanya membekalkan kira-kira 15 peratus daripada keperluan sayur di negara ini.

"Kejadian ini tidak menjejaskan bekalan sayur di dalam negara kerana Cameron Highlands bukan penyumbang terbesar untuk pasaran kita.

"Malah, kawasan yang terjejas akibat kejadian itu hanya melibatkan tanah yang diteroka secara haram dan pengusahanya tidak berdaftar dengan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP). Jadi, bekalan sayur di negara ini masih mencukupi," katanya.

Tragedi tersebut yang berlaku di Kampung Raja, Pekan Ringlet dan Lembah Bertam di Cameron Highlands Rabu minggu lepas meragut lima nyawa dan mengakibatkan 203 penduduk daripada 47 keluarga dipindahkan ke pusat pemulihan di Ringlet.