PASIR MAS: Banjir buruk yang melanda Kelantan bermula 24 November lepas menyaksikan lebih 90,000 penduduk di 10 jajahan terpaksa berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS).

Menyedari sebahagian besar rakyat Kelantan ditimpa musibah banjir, Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra Ibni Al Marhum Sultan Ismail Petra berkenaan menyantuni mangsa banjir di jajahan Pasir Mas hari ini.

Baginda meluangkan masa menyantuni mangsa banjir yang berlindung di PPS Sekolah Menengah Arab, Islamiah Binjai Manis Pohon Buloh, di sini.

Baginda diiringi Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, Setiausaha Kerajaan Kelantan, Datuk Nasran Muhamad serta ketua jajahan Pasir Mas.

Turut bersama Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat serta ketua jabatan kerajaan negeri dan persekutuan.

Terdahulu Tengku Mahkota Kelantan diberikan taklimat berhubung situasi banjir di jajahan Pasir Mas oleh Ketua Jajahan Pasir Mas, Rusydee Abdullah.

Baginda juga berkenan meluangkan masa beramah mesra serta bertanya khabar mangsa-mangsa yang terlibat serta mengurniakan sumbangan bantuan keperluan harian kepada setiap ketua isi rumah di PPS tersebut.

Usai pengurniaan bantuan di PPS SMA Islamiah Binjai Manis Pohon Buloh, Tengku Mahkota Kelantan berkenan berangkat ke kediaman Menteri Besar Kelantan untuk melawat kawasan sekitar yang masih ditengelami air serta berkenan mengurniakan sumbangan bantuan keperluan kepada penduduk di sekitar kawasan tersebut.

Untuk makluman, jumlah keseluruhan mangsa banjir di jajahan Pasir Mas adalah seramai 34,618 orang melibatkan 11,475 Keluarga yang terkesan akibat banjir dan ditempatkan di 74 PPS di mana PPS SMA Islamiah Binjai Manis menempatkan seramai 478 orang mangsa terdiri dari 176 keluarga sejak 28 November 2024 yang lalu.