KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada Presiden Indonesia, Joko Widodo dan seluruh rakyat republik itu susulan tragedi yang menimpa Kapal Selam KRI Nanggala-402.

Turut menzahirkan rasa dukacita dan ucapan takziah itu adalah Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Dalam satu kenyataan yang dikongsikan di akaun media sosial Istana Negara, Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan harapan agar seluruh keluarga mereka sabar serta tabah menghadapi ujian dan dugaan yang besar pada bulan Ramadan ini.

"Sesungguhnya pemergian perajurit-perajurit kapal selam tersebut di bulan Ramadan yang mulia ini merupakan satu kehilangan yang besar buat negara Indonesia dan semoga pengorbanan mereka akan terus dikenang sepanjang masa.


"Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar seluruh rakyat Indonesia kekal tabah dan diberikan kekuatan dalam menghadapi ujian ini.

"Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh mereka yang terkorban dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman," memetik kenyataan tersebut.

Ucapan takziah tersebut turut disampaikan kepada Duta Besar Indonesia di Malaysia, Hermono oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin.