Tenaga pakar perubatan di negara ini masih berada di tahap rendah untuk memenuhi keperluan perkhidmatan di 142 hospital kerajaan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam bagaimanapun memberitahu, jumlah tenaga pakar itu menunjukkan sedikit peningkatan dari 3,424 pada 2010 kepada 4,481 pada tahun lalu.

"Peningkatan ini adalah impak strategi kerajaan dengan memberi lebih banyak peluang dalam Program Ijazah Sarjana di tujuh universiti tempatan yang menawarkan 23 displin disamping peningkatan kuota biasiswa dari 450 pada 2008 kepada 1,000 kouta ketika ini," katanya dalam sidang media disini, hari ini.

Dr. Subramaniam berkata buat masa ini, hanya 47 pakar pembedahan saraf di seluruh negara ketika ini ditempatkan di beberapa buah hospital tertentu seperti di Sungai Buloh, Ipoh, Pulau Pinang dan Kuching.

Tambahnya, bidang yang turut mengalami masalah sama, malahanlebih teruk adalah pakar kardiologi.

"Dengan keperluan yang semakin meningkat, kami (KKM) harus menambah jumlah pakar dalam bidang tertentu, jadi kami mulakan proses untuk lakukan perubahan.

"Jadi saya rasa, hasilnya akan boleh dilihat pada 2018-2019, dan selepas itu kita boleh mengisi kekosongan yang ada. Isunya disini, bukan kita tidak melatih mereka (pakar-pakar) tetapi mereka berhijrah ke sektor swasta selepas menjalani latihan," katanya lagi.

Selain program Ijazah Sarjana, KKM juga menggalakkan pegawai perubatan meneruskan latihan Lepasan Ijazah melalui pengajian selari.

Pada masa sama, KKM turut meningkatkan jumlah pakar klinik melalui pelbagai strategi seperti tawaran perkhidmatan doktor swasta secara bermusim serta pengambilan semula pakar klinikal dalam bidang kritikal yang telah bersara dari sektor awam.