KUALA LUMPUR: Tempoh untuk pemeriksaan psikiatri ke atas seorang pemandu lori yang didakwa kerana membunuh teman wanitanya warga Thailand dengan menolak wanita itu hingga jatuh dari tingkat 23 sebuah kondominium di Setia Alam, Shah Alam dilanjutkan selama sebulan.


Ringkasan AI
  • Mengikut pertuduhan, V.Nathan didakwa membunuh Mawika Lumyai, di sebuah kondominium di Setia Alam, Seksyen U13, Shah Alam, jam 10.02 malam pada 28 Februari lalu.
  • Pendakwaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) yang membawa kepada hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan jika tidak dihukum mati.
  • Pada 28 Februari lalu, seorang wanita warga Thailand dilaporkan maut selepas jatuh dari tingkat 23 kondominium berkenaan.


Peguam Sivahnanthan Ragava yang mewakili V. Nathan, 37, berkata doktor pakar dari Hospital Bahagia Tanjong Rambutan, Ulu Kinta, Perak memohon dilanjutkan tempoh sebulan bagi menentukan tahap kesihatan mental pemandu lori itu.

"Lanjutan ini dibenarkan mengikut Seksyen 342(4) Kanun Tatacara Jenayah kerana doktor memerlukan lebih masa untuk menilai keadaan mental tertuduh.

"Sebenarnya kes ini sepatutnya disebut di hadapan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezal di Mahkamah Shah Alam untuk mengemas kini laporan psikiatri hari ini, bagaimanapun ia dilapangkan hingga 9 Ogos," kata Sivahnanthan, yang dibantu peguam Cyrus Tiu Foo Wei.

April lepas mahkamah memerintahkan pemandu lori itu menjalani penilaian psikiatri selepas membenarkan permohonan Sivahnanthan yang mengatakan bahawa Nathan menunjukkan kesukaran mengikut arahan dan memberi kerjasama, dalam prosiding bagi pertuduhan membunuh yang dihadapinya.

Nathan didakwa membunuh Mawika Lumyai, 32, di sebuah kondominium di Setia Alam pada 10.02 malam, 28 Feb lepas.

Pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun dan 12 sebatan, jika tidak dihukum mati, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA