KUALA LUMPUR: Individu sekitar Lembah Klang yang belum menerima janji temu vaksinasi COVID-19 atau yang belum sempat menerima dos kedua mereka kini boleh mendapatkan imunisasi berkenaan secara percuma di fasiliti kesihatan swasta selain klinik kesihatan kerajaan.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan memaklumkan ia menerusi program tempahan vaksin untuk golongan dewasa bermula hari ini menerusi 98 fasiliti kesihatan swasta terpilih yang berdaftar di bawah ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth).

"Individu di Lembah Klang yang ingin mendapatkan janji temu vaksinasi mereka perlu menghubungi dan membuat tempahan dengan mana-mana 98 fasiliti swasta ini," menurut kenyataan itu.

Kumpulan sasaran adalah golongan dewasa yang baru mendaftar dan belum mendapat janji temu, golongan dewasa yang terlepas janji temu dos pertama atau dos kedua dan golongan lain yang akan diumumkan KKM kelak.

Menurut kenyataan itu program dibangunkan ProtechHealth berkenaan adalah bagi menambah baik akses pemberian vaksin di Selangor dan Kuala Lumpur serta mengelakkan pembaziran dan ketidakpastian permintaan vaksin.

ProtectHealth ditubuhkan pada 19 Disember 2016 sebagai anak syarikat milik penuh ProtectHealth Malaysia (PHM) yang ditubuhkan di bawah KKM.

ProtectHealth juga merupakan pengurus skim untuk PeKa B40, Electronic Service Provider (ESP) untuk Skim Perlindungan Insurans Kesihatan Pekerja Asing dan pelaksana penglibatan pengamal perubatan swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kesihatan dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

-- BERNAMA