PETALING JAYA:Tindakan cemburu seorang wanita menegur suaminya selepas melihat lelaki itu 'berduet' dengan isteri keduanya dalam aplikasi TikTok, membawa padah apabila mangsa dibelasah sehingga mati. 

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10 malam Isnin lalu, di pangsapuri Pelangi Damansara di sini, suspek yang berang tindakannya itu ditegur bertindak menumbuk dan menampar mangsa berkali-kali.

Katanya, selepas menyedari wanita berusia 40 tahun itu sudah tidak sedarkan diri, suspek meninggalkan mangsa berseorangan dan bergerak ke rumah isteri keduanya di Klang.

"Pada keesokkan harinya pada pukul 7.03 pagi, polis menerima panggilan daripada orang awam mengenai seorang wanita warga asing yang dalam keadaan tidak sedarkan diri di rumahnya.







"Pemeriksaan polis mendapati mangsa yang berusia 40 tahun itu meninggal dunia dengan beberapa kesan lebam ditemui di tubuhnya. Pun begitu, punca kematian masih belum diketahui," katanya dalam kenyataan di sini, pada Rabu.

Nik Ezanee menambah, mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk proses bedah siasat.

Jelasnya, pasangan yang sudah empat tahun mendirikan rumah tangga itu belum dikurniakan cahaya mata.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat orang ramai, polis berjaya menahan suspek yang berusia 29 tahun itu di sebuah tapak pembinaan di kawasan Stadium Kuala Lumpur pada hari yang sama kira-kira pukul 3.10 petang.

Susulan daripada itu, katanya polis turut menahan isteri kedua suspek yang berusia 45 tahun di tapak pembinaan di Taman Klang Utama, Klang kira-kira tiga jam kemudian.

Pasangan ini baharu berkahwin tiga bulan lalu.

Kedua-dua pasangan warga asing itu kini ditahan reman enam hari bermua hari ini bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dijalankan.

Jika disabit dengan kesalahan, pasangan itu boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.