Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kelantan menyifatkan amalan minum air ketum dalam kalangan sesetengah pelajar lelaki di Kelantan sudah menjadi kebiasaan.

"Kes pelajar lelaki minum air ketum adalah perkara biasa berlaku namun bukan bermakna semua pelajar mengamalkan air ketum tersebut," kata Pengarah AADK Kelantan, Rohayu Ahmad ketika dihubungi Astro AWANI.

Hasil kaji selidik yang dilakukan agensi tersebut tahun lalu mendedahkan, terdapat pelajar lelaki di negeri itu membuat pengakuan berani meminum air ketum dan sebahagian lagi didakwa positif dadah selepas menjalani saringan ujian air kencing.

Selain itu, berdasarkan kaji selidik yang diterima dari ibu pejabat AADK, seramai 292 pelajar sekolah di negeri itu dalam lingkungan umur 13 tahun hingga 17 tahun menunjukkan mereka terjebak dengan dadah bermula dengan mengambil air ketum.

“Kami mendapati beberapa pelajar mengaku ada mengambil dadah sebelum ini walaupun keputusan air kencing mereka negatif. Malah, ramai juga yang mengaku terlibat dengan pengambilan air ketum khususnya pelajar lelaki,” kata Rohayu.

Katanya, pengambilan air ketum dalam kalangan pelajar perempuan adalah isu terpencil, namun menurut kajian terkini dijalankan pihaknya, penglibatan golongan itu juga mula menunjukkan sedikit peningkatan.

“Bagi pelajar perempuan, kes sebegini jarang berlaku. Namun, berdasarkan kajian kami yang terbaharu untuk tahun ini, berlaku sedikit peningkatan,” katanya.

BACA: Polis siasat pelajar sekolah menengah minum air ketum di Kelantan

Mengulas isu video viral yang menunjukkan tiga pelajar perempuan dipercayai meminum air ketum di Kelantan, yang tersebar pada Isnin, Rohayu berkata, pihaknya akan terus berusaha bagi meningkatkan kesedaran masyarakat kesan buruk air ketum.

“Kalau orang tua dahulu, mereka akan minum air ketum ini sekiranya mereka sakit. Tetapi, remaja zaman kini ambil air ketum secara berpanjangan sehingga mengakibatkan ketagihan dan mewujudkan tindak balas kimia,” tambahnya lagi.


Bagaimanapun, bagi membendung budaya tidak sihat ini, AADK dan Jabatan Farmasi akan bekerjasama bagi menjalankan usaha-usaha pencegahan dalam kalangan masyarakat di negeri itu selain meminta masyarakat di luar sana untuk berganding bahu dalam membanteras kes sebegini sebelum ia jadi lebih parah.

BACA: Jual air ketum kepada pelajar sekolah, seorang buruh ditahan

Sebelum ini, seorang buruh berusia lingkungan 20-an ditahan selepas didakwa menjual air ketum kepada pelajar sekolah dengan harga yang murah.