Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata pihaknya kini berdepan cabaran untuk memperolehi calon berkualiti dan berkelayakan.
Beliau berkata bagi mengatasi masalah itu, pihaknya tidak boleh bersikap terlalu tegas dalam memilih bakal perajurit muda untuk menyertai perkhidmatan.
"Kita mempunyai masalah dalam mendapatkan perajurit muda yang bagus dan berkualiti dan saya rasa masalah ini turut dihadapi di negara lain, bagi menghadapi masalah ini kita telah membincangkan kemungkinan-kemungkinan, mungkin lepas ini kita tidak terlalu kritikal dalam aspek fizikal, mungkin beri tumpuan kepada kemahiran atau kelayakan terutamanya berunsur sains dan teknologi.
"Misalnya dalam aspek fizikal, kita perlu mempertimbangkan calon yang kurang satu atau dua sentimeter had ketinggian, terutamanya kepada pemohon yang mempunyai kelebihan dalam bidang teknologi, teknikal dan sains," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu beliau menyaksikan Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 201/2024 dan Wanita Siri 49/2024 melibatkan 1,339 perajurit muda di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) di sini.
Dalam pada itu, Muhammad Hafizuddeain berkata calon yang mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu, dapat dioptimumkan kebolehan tersebut untuk dijadikan aset kepada perkhidmatan.
"Kita dapat latih dia menjadi pakar, kalau dia dapat menjadi pakar bidang komputer, contohnya, kenapa tidak?. Sebab kita dalam usaha untuk membentuk pasukan cyber force dalam Tentera Darat," katanya.
Susulan itu beliau berkata pihaknya akan lebih bertolak ansur dalam memilih calon perajurit muda, namun tidak berkompromi dari segi kesihatan.
Dalam pada itu Muhammad Hafizuddeain berkata ketika ini pihaknya menerima 10,000 permohonan dalam talian setiap sesi pengambilan dan daripada jumlah itu 4,000 dipilih menghadiri temuduga akhir.
"Sebenarnya pengambilan perajurit muda ini juga satu cabaran kerana dalam permohonan dalam talian, kita menerima 10,000 permohonan tetapi selepas ditapis dari segi kelayakan akademik, syarat-syarat asas, hanya 4,000 sahaja yang layak ke temuduga akhir.
"Daripada jumlah itu kita terpaksa kurangkan kira-kira 60 peratus selepas mengambil kira masalah kesihatan, psikologi...cabaran ini tidak kritikal tetapi membimbangkan," katanya.
Dalam pada itu Muhammad Hafizuddeain berkata TDM akan mengeluarkan polisi Indeks jisim badan (BMI) terbaharu yang lebih relevan, bersesuaian dengan peringkat umur anggota tertentu dan mengambil kira tempoh dalam perkhidmatan.
"Banyak timbang tara atau budi bicara yang kita amalkan dalam mempertimbangkan aspek peningkatan kerjaya untuk seseorang anggota," katanya.
Indeks BMI ditetapkan bagi anggota TDM ketika ini ialah pada paras 26.9 ke bawah.
-- BERNAMA