Pemilik motor dan kenderaan yang cukai jalannya telah tamat tempoh tidak lebih dari tiga tahun kini dibenarkan untuk memperbaharui cukai jalan dan insurans kenderaan mereka tanpa perlu melalui proses biasa, menerusi program pemutihan yang berkuatkuasa hari ini hingga akhir Jun.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, program pemutihan itu, yang pertama kalinya pernah dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), telah mendapatkan sokongan serta kerjasama dari syarikat-syarikat insurans.

"Saya menyeru supaya pemilik kenderaan terlibat mengambil peluang ini untuk memperbaharui semula cukai jalan dan insurans kenderaan mereka dalam tempoh tiga bulan ini.

"Program pemutihan ini menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam membantu rakyat, khususnya mereka yang berada dalam golongan B40 (kumpulan berpendapatan isi rumah 40 peratus terendah)," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Karnival Kementerian Pengangkutan di sini, hari ini.

Katanya, pemilik motosikal dan kenderaan yang terlibat juga akan menikmati potongan bayaran insurans jika memperbahurinya dalam tempoh itu.

"Bagi motosikal 125cc, pemilik hanya perlu bayar RM80 berbanding antara RM100 hingga RM140 kadar biasa," katanya.

Beliau menjelaskan, jika mengikut prosedur biasa, kenderaan yang telah luput cukai jalannya melebihi satu tahun perlu menjalankan pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer sebelum dinilai dan diluluskan permohonan untuk perbaharuan cukai jalan.

Sementara itu, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Shaharuddin Khalid yang turut hadir di karnival itu menganggarkan terdapat hampir 28 juta kenderaan berdaftar di Malaysia.

Bagaimanapun, katanya pada tahun 2017, hanya 19 juta sahaja yang memperbaharui cukai jalan.

"Program pemutihan itu akan dilaksanakan di semua pejabat JPJ seluruh negara," katanya.

Dalam perkembangan lain, Liow yang juga anggota Parlimen Bentong berkata, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), dengan pekan Bentong sebagai salah satu hentiannya, bakal mengurangkan tempoh perjalanan Bentong ke Kuala Lumpur daripada satu jam sekarang kepada hanya 25 minit apabila projek itu siap pada 2024 nanti.

Katanya, kerja-kerja membuat terowong sepanjang 18km yang merentasi Bentong telah dimulakan.

Beliau berkata, projek tersebut akan melonjak pertumbuhan Bentong dan menjadikannya bandar satelit di bawah Greater Kuala Lumpur.

Pelbagai aktiviti telah diadakan sempena karnival satu hari itu, termasuk pameran oleh agensi-agensi di bawah Kementerian Pengangkutan, pemeriksaan kenderaan percuma, pengurangan saman JPJ dan pemeriksaan gigi percuma.

-- BERNAMA