Berita baik untuk rakyat Selangor.

Kerajaan Selangor mengalu-alukan rakyat Selangor dari golongan profesional dan aktivis masyarakat untuk memohon menjadi Ahli Majlis sekaligus sebahagian daripada kerajaan rakyat negeri itu.

Dalam posting terbaru Facebook Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Kerajaan Selangor memutuskan semua Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) yang sedia ada dikekalkan jika mereka bersedia untuk terus berkhidmat di bawah kerajaan negeri rakyat itu.




"Keputusan itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTES) yang diadakan hari ini selepas mengambil kira senario politik semasa dan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kerajaan Pulau Pinang untuk mengadakan pilihan raya tempatan.

"Bagi mengisi kekosongan 51 jawatan Ahli Majlis PBT di seluruh negeri, MTES membuat keputusan supaya tawaran untuk mengisi sebahagian kekosongan itu dibuka kepada rakyat Selangor yang berkelayakan," katanya.

Dalam pada itu jelas Abdul Khalid, Kerajaan Negeri mahu memastikan khidmat kesemua PBT di negeri Selangor kepada rakyat dipertingkatkan selari dengan taraf negeri Selangor negeri maju,

"Iklan tawaran ini untuk mengisi kekosongan Ahli Majlis ini akan disiarkan dalam akhbar-akhbar utama dalam tempoh terdekat ini," ujarnya.

Pada Rabu, Abdul Khalid memecat dua exco PKR dan tiga exco DAP kerana tidak bersetuju bersama pasukannya mentadbir negeri.

Abdul Khalid menyatakan, semua surat yang dihantar kepada lima exco itu berkuat kuasa serta merta.

Ujar Khalid, surat juga sudah dihantar kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang meminta supaya exco berkenaan tidak meneruskan kerja Kerajaan Negeri Selangor.

Bagaimanapun, pada Khamis, exco yang dipecat mengatakan pemecatan mereka tidak sah dan tetap akan menjalankan tugas seperti biasa.