Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, operasi bagi tahun 2021 akan dimulakan secara berperingkat mengikut Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Beliau juga mengarahkan semua guru menjalani ujian COVID-19 sebelum dibenarkan ke Taska Genius Perpaduan, seperti yang diarahkan oleh KKM.
"Kementerian Perpaduan Negara akan memastikan semua Taska Genius Perpaduan mematuhi garis panduan pencegahan penularan COVID-19 pasca kawalan pergerakan bagi keselamatan TASKA dan arahan semasa oleh MKN dan KKM di dalam menjalankan operasi," katanya dalam kenyataan di sini, pada Ahad.
Tarikh pembukaan Taska Genius Perpaduan Negara di seluruh Malaysia adalah seperti berikut:
- Negeri Kedah, Johor, Terengganu dan Kelantan – Bermula pada 3 Januari, 2021
- Perlis, Pulau Pinang, Perak, Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak dan Jempol, Negeri Sembilan – Bermula pada 4 Januari 2021.
- Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Daerah Seremban, Negeri Sembilan – Bermula pada 15 Januari 2021.
- Wilayah Persekutuan Labuan – Bermula 11 Januari 2021.
Halimah berharap pembukaan Taska Genius Perpaduan ini akan dapat membantu ibu bapa yang juga telah memulakan waktu kerja secara normal dan memerlukan penjagaan anak-anak semasa mereka berada di tempat kerja.
"Saya juga ingin mengingatkan ibu bapa yang menghantar anak-anak ke Taska Genius Perpaduan agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan, mengamalkan kelaziman baharu dan sentiasa mengutamakan kebersihan diri," katanya lagi.