PUTRAJAYA: Kerajaan setakat ini masih belum memuktamadkan tarikh akhir pendaftaran vaksin COVID-19.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menegaskan sekiranya cadangan penetapan tarikh akhir pendaftaran itu memberi impak positif dalam kalangan masyarakat, kerajaan akan mempertimbangkannya.

"Itu adalah cadangan Perdana Menteri untuk mempercepatkan pendaftaran dan meningkatkan unjuran perancangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

"Kita masih lagi membincangkan bila tarikh boleh diumumkan, cadangan ini masih dipertimbangkan," katanya pada sidang media mingguan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di sini, pada Isnin.

[TERKINI] Sidang media perkembangan PICK

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan tarikh akhir pendaftaran ditetapkan pada Jun susulan kadar pendaftaran bagi program imunisasi kebangsaan yang secara relatifnya rendah.

Namun begitu, cadangan itu mendapat pelbagai reaksi termasuk Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kula Segaran yang menyatakan kebimbangan kepada penduduk yang mempunyai kekurangan akses internet di kawasan tertentu.

BACA: Ikuti perkembangan berita terkini vaksin COVID-19 di sini.

Dalam perkembangan berkaitan, Khairy memaklumkan kerajaan akan mengadakan beberapa perjanjian awam dan swasta melibatkan pemain industri di zon merah atau mempunyai pekerja melebihi 5,000 orang apabila bekalan vaksin COVID-19 mencukupi.

"Kita akan membuat pengumuman sejurus perkara itu dimuktamadkan dalam masa terdekat," ujarnya lagi.

Sehubungan itu katanya, beberapa sesi libat urus akan diadakan dalam masa terdekat.