AMPANG JAYA: Penduduk Taman Melawati pernah menyuarakan kebimbangan mengenai insiden tanah runtuh kepada pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) sebelum ini.

Mereka kesal kerana mendakwa tiada tindakan berkesan diambil bagi mencegah kejadian itu daripada berlaku.

Kennedy Micheal yang juga bekas setiausaha persatuan penduduk itu berkata, dia berharap pihak berwajib melihat kejadian ini sebagai satu peringatan serius.


“Kami telah ramal tiga kawasan di sini akan berlaku tanah runtuh setahun sebelum kejadian. Kami telah maklumkan kepada pihak berkuasa tempatan untuk mengambil tindakan tindakan segera namun tiada sebarang langkah diambil.

“Ini mungkin kejadian kali kelima yang berlaku di Taman Melawati sejak tahun 2021. Seperti mana yang boleh lihat, kawasan ini bercerun tinggi dan curam, jadi merupakan kawasan pengelasan cerun kelas ketiga dan empat, risiko tinggi.

“Kami bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Persatuan Penduduk Taman Melawati telah lama menyarankan kepada MPAJ supaya berhati-hati bila kelulusan merancang dah pembangunan kerana risiko nampak dengan nyata, sudah kami ramalkan melalui program pemantauan cerun sebelum ini,” dakwanya.

Kennedy mendesak pihak MPAJ untuk memandang serius terhadap kejadian ini agar tiada nyawa melayang di masa akan datang.

Mengulas lanjut, Kennedy mendesak pihak MPAJ untuk memandang serius terhadap kejadian ini agar tiada nyawa melayang di masa akan datang.

Kejadian tanah runtuh berlaku di kawasan lereng bukit Jalan E6, Taman Melawati pada pagi Selasa.

Kejadian dilaporkan sekitar jam 11.30 pagi tadi akibat hujan lebat.

Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengerahkan enam pegawai dan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang ke lokasi kejadian.

Tanah runtuh berlaku di lereng bukit berkeluasan 20x20 meter serta runtuhan setinggi 30 meter.

Kejadian itu bagaimanapun tidak menyebabkan kemalangan jiwa dan bomba mengawasi kawasan berkenaan berikutan masih berlaku pergerakan tanah di lokasi.