Keputusan sama ada kawasan tanah runtuh di Taman Idaman, Serendah selamat diduduki semula atau tidak hanya akan diketahui minggu depan.

Pegawai Daerah Hulu Selangor Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata keputusan itu akan diketahui selepas pasukan geofizik Jabatan Mineral dan Geosains selesai menjalankan siasatan dan mengeluarkan laporan lengkap kepada Jabatan Kerja Raya (JKR).

BACA: Tanah runtuh Serendah: Kerja pembaikan jalan diambil alih JKR - Azmin Ali

JKR memerlukan laporan komprehensif seperti kajian pergerakan tanah, kerintangan, aliran air bawah tanah dan struktur forensik sebelum membenarkan mangsa pulang ke rumah masing-masing, katanya kepada pemberita di Balai Raya Kampung Dato Harun, Serendah di sini hari ini.

BACA: Tanah runtuh Serendah: Laporan siasatan siap dalam masa 3 hari

Mohd Fauzi berkata setakat ini, kerja-kerja pembaikan sementara seperti penanaman cerucuk 'Sheet Pile', pemasangan tembok Gabion, penambakan pasir dan menghampar tanah telah siap sepenuhnya tetapi pembaikan kekal belum dimulakan lagi. - BERNAMA