BATANG KALI: Mayat seorang kanak-kanak perempuan ditemukan di lokasi pencarian insiden tanah runtuh tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Gohtong Jaya, dekat sini pada 11.15 malam ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Suffian Abdullah mengesahkan penemuan mayat kanak-kanak dianggarkan berusia lingkungan lima hingga tujuh tahun itu, menjadikan angka korban tragedi berkenaan kini kepada 25 orang.

Mayat kanak-kanak berkenaan dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat.

"Saya sahkan penemuan mayat kanak-kanak perempuan tersebut," katanya ringkas kepada Bernama malam ini.

Ikuti perkembangan tragedi tanah runtuh Batang Kali DI SINI!

Suffian memaklumkan maklumat lanjut mengenai penemuan mayat itu akan diberikan pada sidang media, pagi esok.

Menurutnya operasi SAR hari kelima ditangguhkan pada 12 tengah malam ini dan akan bersambung semula pada 8 pagi esok.

Tragedi tanah runtuh yang berlaku pada 2.42 pagi pada Jumaat lepas di tapak perkhemahan itu setakat ini menyaksikan 61 selamat, 25 nyawa terkorban dan lapan lagi mangsa masih hilang daripada keseluruhan 94 orang.

- BERNAMA