Kerisauan mengenai ruang tanah perkuburan yang semakin terhad terutamanya untuk warga kota kian membimbangkan.

Namun demikian, usaha kerajaan menerusi Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) terus memberi kelegaan memandangkan tinjauan yang dibuat Astro AWANI mendapati kawasan perkuburan di sekitar ibu kota didapati mencukupi sehingga tahun 2060.

Pengurusan yang diperkenalkan dalam konsep kubur dalam taman seperti di Raudhatul Sakinah KL-Karak, Tanah Perkuburan Bukit Kiara dan beberapa lokasi lain memberi keselesaan kepada waris untuk menziarahi kubur ahli keluarga mereka.

Setiap lot kubur dikenakan caj sebanyak RM200 bagi setiap jenazah bagi warganegara Malaysia manakala caj RM400 untuk bukan warganegara. Caj yang dikenakan ini tidak termasuk caj pengurusan jenazah.

Dengan kemudahan awam yang disediakan, tanah milik Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan diselenggara dengan baik serta dijaga rapi dari sebarang anasir syirik. Waktu lawatan turut diselaraskan bermula jam 8 pagi hingga 6:30 petang.

Tidak kurang dengan itu, setiap kubur dilabel dengan nombor lot tersendiri. Nombor lot ini penting bagi kemudahan waris untuk mengenalpasti kubur ahli keluarga mereka. Nombor lot ini juga boleh dirujuk secara online menerusi portal E-Jenazah yang diperkenalkan JAWI.

Usaha berterusan terus dibuat bagi memastikan kelestarian alam sekitar serta penggunaan tanah yang efektif untuk keperluan pengurusan kubur di Malaysia.

Salah satu perkara yang giat dikaji sehingga kini ialah penggunaan teknologi Sistem Informasi Geografi (GIS) yang bakal diperkenalkan bagi pemetaan kawasan perkuburan di Malaysia.