KUALA LUMPUR: Penambahbaikan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan isu kesusahan yang ditanggung rakyat berikutan impak penularan COVID-19 antara isu yang dibangkitkan Ahli Parlimen pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat, hari ini.

Di sebalik suara tidak puas hati wakil-wakil rakyat pembangkang yang mahukan penjelasan daripada pihak kerajaan dengan menggunakan Peraturan-peraturan Majlis Dewan Rakyat dan Perlembagaan Persekutuan sebagai rujukan, rata-rata Ahli Parlimen yang menyertai perbahasan menimbulkan isu-isu berkaitan rakyat dalam situasi pandemik ini.

Sesi pertama Mesyuarat Khas hari ini menyaksikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membentangkan penerangan mengenai PPN, yang memberi jaminan bahawa kerajaan tidak berpeluk tubuh membiarkan rakyat menderita.

"Benar, kerajaan ini tidak sempurna. Tetapi apa yang benar juga ialah kerajaan hari ini tidak berpeluk tubuh membiarkan rakyat menderita, malah sentiasa bergerak dan bertindak untuk menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyat," kata Perdana Menteri.

Muhyiddin berkata, kerajaan faham bahawa rakyat berada dalam keadaan resah dan bimbang apabila angka kes harian COVID-19 menunjukkan peningkatan.

LAMAN MIKRO SISITV PARLIMEN ADA DI SINI

[LAPOR LANGSUNG] Hari pertama Sidang Mesyuarat Khas Parlimen menutup tirai

Penerangan Perdana Menteri itu disusuli dengan perbahasan oleh Ahli-Ahli Parlimen apabila lebih 12 Ahli Parlimen mengemukakan pandangan dan persoalan mengenai pelaksanaan PPN.

Antara yang mengambil bahagian ialah Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) yang mencadangkan agar pelan itu digarap dengan lebih realistik dan tidak hanya menjadikan prestasi program vaksinasi sebagai inidikator utama untuk kelonggaran secara berperingkat mengikut fasa yang ditetapkan.

Jelasnya, negara perlu mengambil iktibar Iceland yang merekodkan peningkatan kes selepas membenarkan lebih banyak kelonggaran termasuk membenarkan kemasukan orang asing apabila kadar vaksinasi rakyatnya mencapai 85 peratus.

"Saya bimbang jika kita terlalu terburu-buru membuka semua sektor dengan bergantung kepada kejayaan vaksinasi tanpa mengukur tahap sebenar kesusahan rakyat serta langkah kesihatan secara realistik, negara mungkin berdepan masalah lain.

"PPN juga perlu mengambil kira implikasi akan datang seperti persiapan menghadapi banjir dan musim tengkujuh dalam keadaan negara masih berdepan penularan wabak itu serta program vaksinasi," katanya.

Dalam segi pemberian bantuan, Nurul Izzah berkata, kerajaan perlu menilai semula had Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) berdasarkan situasi semasa susulan wabak itu agar bantuan dapat diberikan secara lebih adil dan hoslistik.

Beberapa Ahli Parlimen turut membangkitkan soal pelaksanaan program Bakul Makanan Prihatin (BPN) termasuk Datuk Salim Sharif (BN-Jempol) dan (BN-Jelebu) yang mahukan agihan bantuan itu dibuat secara holistik kepada semua rakyat yang terkesan.

Mereka mencadangkan agar Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat terus meningkatkan sumber dan keupayaan di lapangan bagi memastikan bantuan itu sampai kepada kumpulan sasar berdasarkan pelan BPN.

Steven Sim Chee Keong (PH-Bukit Mertajam) yang membangkitkan isu vaksinasi berharap kerajaan dapat memberikan janji temu secepat mungkin kepada rakyat yang belum mendapatkan suntikan vaksin selain meminta supaya moratorium tanpa syarat dan tanpa faedah diberikan bagi memudahkan kehidupan rakyat.

Perbahasan yang bersambung pada sesi petang terus hangat apabila penggulungan dilakukan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz selaku Menteri Penyelaras PPN.

Rata-rata Ahli Parlimen blok pembangkang bangun dan meminta perbahasan itu digulung oleh Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri.

Bagaimanapun, Tengku Zafrul meneruskan penggulungan selepas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bangun menjelaskan bahawa penerangan dan perbahasan adalah berkenaan PPN dan Tengku Zafrul membuat penggulungan itu atas kapasitinya sebagai Menteri Penyelaras PPN.

Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bersambung esok dengan penerangan mengenai tindakan menangani pandemik COVID-19 oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba. - BERNAMA