KUALA LUMPUR: Terdapat tiga lagi kes baharu berkaitan dengan Mesyuarat Khas Parlimen menjadikan jumlah keseluruhan berkaitan dengan persidangan berkenaan adalah 88 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, memaklumkan tiga kes baharu yang dikesan itu dilaporkan positif COVID-19 pada Sabtu.

"Semua mereka mempunyai gejala ringan dan sudah mendapat vaksin lengkap. Hasil siasatan mendapati mereka juga mengambil langkah berjaga-jaga dengan kuarantin kendiri selepas pulang dari sidang Parlimen supaya tidak menjangkiti ahli keluarga.

"Siasatan untuk mengenal pasti kontak rapat semasa persidangan diteruskan oleh Pejabat Kesihatan Daerah. Selain itu, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) sedang menjalankan jujukan genom penuh (whole genomic sequencing) dan masih menunggu keputusan akhir," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan, tiga kes positif itu mempunyai nilai kitaran ambang antara 19.15 hingga 22.27 iaitu kadar kebolehjangkitan yang tinggi.