JOHOR BAHRU: Polis menafikan berlaku kejadian culik melibatkan seorang kanak-kanak lelaki di kawasan perumahan dekat Permas Jaya, di sini pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, polis menerima satu laporan daripada ibu kanak-kanak terbabit pada hari yang sama mendakwa salah seorang anak kembarnya telah hilang.

Katanya, siasatan awal mendapati kedua-dua anaknya yang berumur 11 tahun telah pergi ke kedai runcit berhampiran rumah untuk membeli barang pada jam 3 petang.

"Salah seorang anak pengadu telah masuk ke dalam kedai, manakala seorang lagi tunggu di luar kedai runcit tersebut.

"Apabila selesai membeli barang, anak pengadu mendapati kembarnya yang menunggu di luar kedai telah tiada dan bertindak pulang ke rumah memberitahu kepada ibunya berkaitan kehilangan kembarnya.

"Susulan kejadian itu, ibu kanak-kanak terbabit telah bertindak mencari anaknya di sekitar kawasan perumahan, namun tidak menjumpai dan membuat laporan polis.

"Selepas dua jam dilaporkan hilang iaitu kira-kira jam 5 petang, anak pengadu memaklumkan bahawa kembarnya telah dijumpai oleh orang awam dalam keadaan baik dan selamat," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Tambah Raub, siasatan lanjut dilakukan polis mendapati kanak-kanak tersebut dijumpai dengan jarak lebih kurang dua kilometer dari tempat kejadian.

Katanya, semasa dijumpai semula, kanak-kanak tersebut menceritakan kepada ibu bapanya dan mendakwa dirinya telah dibawa lari oleh seorang lelaki yang tidak dikenali dengan memakai topeng Ninja dan dibawa ke sebuah rumah tetapi berjaya melawan seterusnya melarikan diri.

"Namun hasil soal siasat oleh Ketua Polis Balai Permas Jaya bersama pegawai penyiasat kes, kanak-kanak tersebut memberitahu kejadian sebenar bahawa dia bermain kejar-kejaran dengan seorang budak lelaki sehingga kehilangan selipar.

"Bimbang dimarahi oleh ibu bapanya, kanak-kanak tersebut mendakwa dirinya telah dibawa lari.

"Kes tiada unsur jenayah dan diklasifikasikan tiada tindakan lanjut.

"Seterusnya polis menafikan kejadian culik yang dilaporkan," katanya.


*Berita asal di Sinar Harian