Pemuda UMNO senada dengan keputusan Badan Perhubungan UMNO Kelantan untuk tidak meletakkan calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin sebaliknya menekankan fokus harus diberi kepada kerjasama erat di antara kerajaan pusat dan negeri berhubung pembangunan pasca banjir.

"Pemuda Umno berpendapat untuk DUN Chempaka, kita tidak perlu bertanding, terutamanya apabila kita tahu kawasan tersebut disandang lama oleh Allahyarham Tok Guru Nik Aziz.

"Sebagai tanda penghormatan kita tidak bertanding dan yang keduanya, kita dalam proses pemulihan semula kawasan Kelantan selatan dan juga Kelantan Tengah daripada bencana banjir.

"Ini memerlukan kerjasama rapat dan erat antara kerajaan pusat dan negeri dan kita tidak mahu PRK itu mengganggu gugat kerjasama antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri," jelasnya ketika ditemui di Karnival TKC Walk A Run disini.

Beliau, bagaimanapun, berpandangan bahawa BN harus meletakkan calon untuk bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh.

"Di Parlimen Permatang Pauh itu perkara lain kerana kekosongan yang akan berlaku disebabkan keputusan mahkamah.

"Yang itu bagi kami, BN harus bertanding," ujarnya.

Pada Sabtu Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berpendapat, BN tidak perlu meletakkan calon di kerusi N.06 itu.

Sebaliknya, BN harus memberi fokus dan tumpuan kepada soal perpaduan dan pembangunan pasca banjir.