IPOH: Tahun Melawat Ipoh 2023 merupakan langkah yang sangat tepat bagi menonjolkan kekuatan dan kehebatan Ipoh sebagai lokasi percutian yang mesti dilawati.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata sektor pelancongan adalah antara nadi penting pertumbuhan ekonomi negeri ini malah semakin menunjukkan tanda pemulihan yang sangat signifikan selepas terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 sebelum ini.

"Kita telah memenangi pelbagai anugerah di peringkat domestik dan antarabangsa melibatkan Ipoh antara bandar kopi terbaik di Asia, 10 destinasi terbaik untuk mencuba makanan tempatan, dan bandar raya 'underrated'.

BACA: Ipoh disenarai antara destinasi paling 'underrated' di Asia 

BACA: Ipoh di tangga pertama 'lokasi menarik paling kurang dinilai' di Asia - Datuk Bandar 

Justeru, anak-anak Perak perlu bersama-sama berganding bahu memberitahu kepada dunia bahawa bumi bertuah Perak Darul Ridzuan mempunyai kehebatan dan keistimewaan tersendiri," katanya ketika berucap melancarkan Tahun Melawat Ipoh 2023 bersempena Program Starvendors Foodstival X #travelPerakLah 2022 di sini malam tadi.

Saarani berkata justeru itu, kerajaan negeri akan terus mempergiatkan lagi promosi produk dan destinasi pelancongan sedia ada dan baharu di Perak selain inisiatif yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan, bantuan dan sokongan daripada orang ramai bagi bersama-sama membantu dalam meningkatkan sektor pelancongan dan ekonomi negeri.

Menurutnya, selain itu, enjin penggerak ekonomi perlu selalu diperkukuhkan selain memperkasa program-program kesejahteraan rakyat berkaitan pelancongan.

-- BERNAMA