PUTRAJAYA: Semangat waja jaguh perseorangan badminton negara, Lee Zii Jia hingga berjaya meraih pingat kedua negara di Sukan Olimpik Paris 2024, ibarat satu persembahan yang memukau, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sejurus selepas perlawanan mendebarkan yang menyaksikan Zii Jia menewaskan Lakshya Sen dari India 13-21, 21-16, 21-11, Perdana Menteri terus berkongsikan ucapan tahniah di laman media sosialnya.


Turut mengucapkan tahniah ialah dua Timbalan Perdana Menteri , Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil; dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said yang berkongsi kegembiraan jutaan rakyat Malaysia.


Ia merupakan pingat gangsa kedua buat kontinjen negara selepas beregu lelaki badminton negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menewaskan beregu nombor dua dunia, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark di Porte de La Chapelle Arena.

Dua pingat gangsa itu meletakkan negara di kedudukan ke-60, dengan China terus mengungguli carta dengan 21 pingat emas.