Lembaga Tabung Haji (TH) menafikan sekeras-kerasnya laporan berita yang ditular melalui media sosial bahawa cawangannya di Bachok, Kelantan, kehabisan wang tunai.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Zukri Samat berkata laporan berita itu adalah fitnah semata-mata dan operasi Tabung Haji berjalan seperti biasa dengan tiada trend pengeluaran wang tunai luar biasa dilaporkan.

Seorang wanita dalam laman Facebooknya (FB) mendakwa bahawa Tabung Haji cawangan Bachok kehabisan wang tunai dan orang ramai penuh sesak membuat pengeluaran deposit.

"Tiada pengeluaran panik dilaporkan di semua cawangan dan keadaan adalah seperti biasa," kata Zukri kepada Bernama pada Ahad.

Beliau merayu para pendeposit agar tidak terpengaruh dengan khabar angin atau berita palsu untuk mengelak tercetus keadaan panik.

Zukri juga berkata Tabung Haji akan meminta pihak berkuasa supaya menyiasat pemegang akaun FB berkenaan di samping mengambil tindakan undang-undang sewajarnya di atas perbuatan yang tidak bertanggung jawab itu.

-- BERNAMA