KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk mendapatkan sementara pasport bagi membolehkan beliau menghadiri forum kepimpinan belia di Indonesia, esok.

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid membenarkan permohonan itu selepas mendengar hujahan peguam Lim Wei Jiet, yang mewakili Syed Saddiq, 30, dan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Dalam membenarkan permohonan itu, Hakim Azhar mengarahkan Syed Saddiq supaya menyerahkan kembali pasport itu kepada mahkamah pada 11 Sept ini.

Terdahulu, Wan Shaharuddin membantah permohonan Syed Saddiq atas alasan terdapat kes jenayah yang belum selesai.

Bagaimapun, Lim membalas bahawa mahkamah juga telah memberi pelepasan sementara pasport kepada Syed Saddiq pada April lalu untuk menghadiri dua persidangan antarabangsa di Switzerland dan Korea Selatan pada 1 dan 15 Mei lalu.

Beliau menegaskan bahawa Syed Saddiq bukan risiko penerbangan (melarikan diri) kerana beliau adalah Ahli Parlimen yang sedang berkhidmat dan telah bekerjasama sejak permulaan perbicaraan kes jenayahnya.

Dalam permohonan difailkan 1 Sept lalu, Syed Saddiq memohon mendapatkan pelepasan sementera pasortnya dari 4 hingga 11 Sept bagi membolehkan beliau menghadiri fourum antarabangsa tersebut di Indonesia.

Syed Saddiq dijadual antara salah seorang penceramah pada forum Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI) anjuran Kedutaan Amerika Syarikat di Jakarta dan Misi Amerika Syarikat ke ASEAN.

Pada 28 Oktober tahun lalu, Syed Saddiq diperintahkan membela diri atas empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

Dia didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali, yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu juga didakwa menyalah guna RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise, untuk diri sendiri dengan menyebabkan Rafiq Hakim Razali melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 dan 21 April 2018.

Dia juga berhadapan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram, iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, dipercayai merupakan hasil aktiviti haram, di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

-- BERNAMA