Syarikat-syarikat korporat perlu kreatif melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kerana ia akan melonjak masa depan syarikat selain reputasi semasa, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail semalam.

Baginda bertitah kegiatan CSR yang dilaksana secara kreatif akan turut mendedahkan syarikat terhadap perkhidmatan yang ditawar selain memberi manfaat kepada masyarakat.

Bertitah melancarkan program jualan amal CSR Malaysia Industrial Development Finance Berhad (Midf) di Arau, baginda berharap syarikat-syarikat baharu turut melaksanakan kegiatan CSR sebagai langkah memperkenalkan produk mereka.

Kegiatan CSR yang berlangsung sehari itu diadakan dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Hadir sama Pengarah Urusan Kumpulan Midf Datuk Mohd Najib Abdullah dan Ketua Pegawai Operasi Midf Azizi Mustaffa.