Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd (Syabas) mendakwa kelewatan kerajaan Selangor melaksanakan pembangunan sistem pengepaman tambahan di rumah pam Wangsa Maju menjadi punca kepada masalah ketiadaan air di sana.

Perkembangan ini sekaligus menjejaskan lebih setengah juta penduduk sekitar Lembah Kelang sejak seminggu lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Syabas, Datuk Ruslan Hassan berkata, cadangan untuk membina sistem itu dikemukakan sejak 2009 lagi setelah menyedari masalah kekurangan air akan berlaku.

Jelasnya, pada Mac 2012 lalu, kerajaan Persekutuan meluluskan pelan pembangunan serta pinjaman untuk projek itu untuk dibangunkan oleh kerajaan Selangor.

Menurut Datuk Ruslan Hassan, Syabas tidak berperanan dalam membangunkan projek tersebut yang akan dibangunkan oleh kerajaan Selangor dengan menggunakan pinjaman yang disediakan oleh kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas turun padang meninjau keadaan sebenar di kediaman Flat Sri Melaka, Cheras.

Masalah bekalan air berlaku selepas rumah pam Wangsa Maju beroperasi melebihi kapasiti asal lantaran permintaan bekalan air yang meningkat sejak kebelakangan ini.

Rumah pam Wangsa Maju dengan kapasiti bentuk 136 juta liter sehari mula beroperasi sejak tahun 2004 di bawah pengurusan Perbadanan Urus Air Selangor Berhad (Puas).

Namun kebelakangan ini, kadar pengepaman ditingkatkan sehingga mencecah 200 juta liter sehari.