Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang dengan kolaborasi Majlis Bandaraya Kuantan melaksanakan program Kompos@Bazar, telah menempatkan sebuah mesin kompos yang boleh menukar sisa-sisa makanan menjadi baja kompos di padang MBK1.
Menurut Pengarah SWCorp Pahang, Sharudin Hamid, sejak hari pertama berpuasa sebanyak 56 kilogram sisa makanan berjaya dikumpul dari pengunjung yang berbuka puasa di Padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) 1 dan dari peniaga bazar Ramadan Mahkota Square berjaya.
Tambah Sharudin, kaedah ini digunakan bagi mengurangkan sisa pembuangan makan terus ke tong sampah sekali gus dapat menyelamatkan sisa buangan makanan daripada dihantar ke tapak pelupusan sampah.
"Mesin ini boleh menampung kapasiti 25kg makanan dalam satu-satu masa dan ia beroperasi selama 48 jam. Kita boleh tambah makanan dan meneruskan proses mengomposkan sisa-sisa seperti biasa.
"Selepas tempoh itu (48 jam) kita akan memperoleh 30 peratus baja kompos iaitu dalam lingkungan dua hingga tiga kilogram baja. Baja kompos ini akan berikan kepada kebun komuniti yang diusahakan golongan rentan di bandar ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan tinjauan ke tapak mesin kompos sisa makanan yang dijadikan baja di Padang MBK 1 di sini pada Khamis.
Para pengunjung juga berpeluang melihat sendiri bagaimana kaedah pengkomposan dilakukan dan cara baja kompos dihasilkan.
Dengan penggunaan mesin kompos tersebut masa menghasilkan baja dapat dipercepatkan daripada 14 hari kepada 7 hari berbanding kaedah kompos konvensional.