KUALA LUMPUR: Suspek lelaki yang menyerang seorang jurujual dan guru besar sekolah dengan pisau rambo di tandas surau di Kelana Jaya Jumaat lepas direman tujuh hari.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shahrulnizam Ja'afar berkata permohonan reman itu dibenarkan oleh Majistret Nur Natasya Mohtarudin pagi tadi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh.

"Turut direman rakan suspek berusia 55 tahun yang merupakan tuan rumah lokasi suspek ditahan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu Shahrulnizam memaklumkan lelaki tempatan berusia 46 tahun itu ditahan 1.30 pagi tadi di sebuah rumah di Kajang.

Dalam kejadian 1.30 tengah hari di tandas sebuah surau di Kelana Jaya, seorang jurujual berusia 26 tahun mengalami kecederaan kepala dan perut manakala guru besar berusia 52 tahun itu mengalami luka pada lengan dan tangan kiri akibat diserang lelaki itu.

Kedua-dua mereka menerima rawatan di Hospital Shah Alam dan telah dibenarkan pulang.

-- BERNAMA