Kebocoran soalan ini penanda aras (benchmark) betapa itulah juga sikap sesetengah kita. Bayangkan bila tiba masa pembentangan Bajet, berapa ramai yang begitu "terdesak" mencari dan mencari info tentang bonus?

Kalau ada yang rakannya bekerja di MOF, punyalah ditanya berapa bonus tahun ni? Sedangkan mereka tahu Buku Bajet itu adalah dokumen terperingkat yang diklasifikasikan sebagai Rahsia Besar.

Sebarang cubaan dan usaha (walaupun sekadar sms @ mesej di FB), sebenarnya telah melakukan kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi.

Demikian juga soalan peperiksaan, ianya juga dokumen yang ditandakan sebagai Sulit (cuba tengok kertas soalan peperiksaan). Bermaksud ianya juga dokumen yang tidak boleh didedahkan sehingga sepatutnya ia didedahkan (bila tiba masanya menduduki peperiksaan).

Tindakan membocorkan soalan ini bukanlah perkara baru, boleh dikatakan memang suatu yang menjadi budaya dalam kehidupan seorang pelajar (walaupun pelajat sekolah rendah).

Pernah dengar perkataan "Tips" atau "Hints"? Itulah salah satu punca tidak langsung yang membawa kepada kebocoran sesuatu soalan peperiksaan. Ramai yang begitu terdesak mahukan "Tips" mahupun "Hints".

Persoalannya, kenapa perlukan "Tips" dan "Hints" ini? Pernah tak kita terfikir kenapa kita perlukan "Tips" dan "Hints"?

Sendiri mahu ingatlah, kalau dah kita begitu tercari-cari, sudah tentulah ada ruang berlakunya tindakan-tindakan tidak wajar dalam rantaian proses yang terlibat.

Siapa yang salah, itu satu hal. Tetapi yang paling penting, bagaimana kita nak atasi supaya peristiwa kebocoran ini tidak berulang? Kerana kita perlu bayangkan, jika orang yang sama yang membocorkan soalan peperiksaan itu bertukar kerja dan berpeluang bekerja di tempat yang lebih tinggi taraf keselamatannya. Maka, apa agaknya dokumen yang bakal dibocorkan pula?

Perihal kebocoran soalan peperiksaan ini bukanlah masalah kecil, sebaliknya jika tidak ditangani dengan bijak...maka negara bakal berdepan dengan pelbagai risiko.

#PejabatKetuaPegawaiKeselamatan #CGSO #PolisDiRajaMalaysia #PDRM #KementerianPendidikan #LembagaPeperiksaan sila beri perhatian dan ambil tindakan yang sewajarnya. Ini bukan persoalan #UPSR semata-mata.

______________
Zamruddin Muhidin ialah pembaca AstroAwani.com