Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Sunway City Ipoh adalah contoh kerjasama awam-swasta yang boleh mengubah sebuah kawasan menjadi bandar moden yang maju, sekali gus menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi tempatan.
Beliau berucap pada majlis pecah tanah Sunway Ipoh Mall, sebuah pusat membeli-belah terbesar di Perak yang dibina dengan pelaburan lebih daripada RM1 bilion.
Menurutnya, pembinaan Sunway Ipoh Mall, umpamanya, akan melengkapkan lagi pembangunan bandar bersepadu Sunway City Ipoh, menjadikannya destinasi yang lebih menarik untuk penduduk tempatan dan pelancong.
“Sunway Medical Centre Ipoh yang dijangka beroperasi pada awal 2025 adalah antara kemudahan tambahan di Sunway City Ipoh yang berkembang untuk memenuhi keperluan gaya hidup moden masyarakat,” katanya.
Saarani juga berkata, pelaburan lanjutan Sunway yang berjumlah RM4 bilion amat mustahak dalam mengubah landskap ekonomi Perak.
Katanya, ia bukan sahaja akan mewujudkan ribuan peluang pekerjaan, tetapi juga menjana pelbagai peluang perniagaan baharu.
Menurutnya, Kumpulan Sunway sudah menjadi sebahagian kehidupan penduduk tempatan Tambun sejak 30 tahun lalu.
“Ini selaras dengan matlamat kita untuk memacu pertumbuhan ekonomi negeri dan meningkatkan taraf hidup rakyat.
"Projek-projek berskala besar seperti ini turut meningkatkan kemudahan infrastruktur dan jaringan perhubungan di Perak,” ujarnya.
Sementara itu, Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Sir Dr Jeffrey Cheah pula berkata, sebagai anak jati Perak, beliau berbangga dapat memainkan peranan dalam membangunkan 1,350 ekar tanah di Sunway Ipoh City dan menyumbang ke arah Koridor Pembangunan Timur Ipoh.
Katanya, oleh kerana kedudukannya yang strategik berhampiran Lebuh Raya Utara Selatan, Sunway City Ipoh berpotensi menjadi pusat hentian ‘rehat dan rekreasi’ utama bagi pelancong dalam perjalanan antara Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Menurutnya, pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia menganggarkan kira-kira empat juta pengguna menggunakan lebuh raya berkenaan, khususnya pada musim cuti dan perayaan.
Beliau menambah, melihat potensi itu, Kumpulan Sunway dan kerajaan negeri telah melabur RM12 juta pada 2007 untuk membina susur keluar dari Lebuh Raya Utara Selatan ke Jalan Tambun.
“Dan dua tahun lalu, kami bekerjasama lagi, melabur lebih RM16 juta untuk memperluas dan menaik taraf Jalan Tambun sepanjang 5.2 kilometer bagi melancarkan lalu lintas,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, kerjasama awam-swasta ini adalah antara beberapa siri kerjasama di antara Sunway dan kerajaan negeri Perak sejak awal tahun 2000 untuk merancakkan ekonomi tempatan.
“Sunway akan terus menjadi rakan kongsi yang kukuh dan berjangka panjang dengan kerajaan negeri,” tambahnya.
Menurut Jeffrey, setakat ini, pihaknya telah melaksanakan kerjasama awam-swasta di negeri Johor, Pulau Pinang, Perak, dan Selangor.
“Terdapat banyak peluang dan saya selalu memberitahu rakan kongsi bahawa jika kami boleh laksanakan, saya akan buat.
“Saya tidak akan mengikat kerjasama sekiranya tidak boleh laksanakannya, itu bukan sifat Sunway. Apa jua tanggungjawab yang kami ambil, kami akan sempurnakan,” kata Jeffrey lagi.