MANILA: Sultan Jamalul Kiram III tidak mengendahkan desakan Presiden Filipina, Benigno Aquino III supaya beliau mengundurkan pengikutnya yang kini terkepung di Lahad Datu.

Laman web akhbar Philippine Daily Inquirer melaporkan arahan itu telah ditolak oleh waris Kesultanan Sulu.

"Apa yang mereka tahu katakan ialah serah diri, serah diri. Kenapa mesti kami serah diri di tanah air kami sendiri? Mereka (pengikutnya di Sabah) tidak melakukan apa-apa yang tidak elok di negeri mereka sendiri," dakwa Jamalul seperti dipetik oleh Inquirer.net

Anak perempuan beliau, Jaycel berkata, arahan Aquino itu "tidak dapat diterima".

Desakan sama juga dibuat oleh kerajaan Malaysia iaitu serah diri atau berdepan tindakan pihak berkuasa.

Jamalul yang kini tua dan uzur muncul sebentar di khalayak umum bersama bintang filem, Robin Padilla di hadapan puluhan wartawan yang berkampung di kediamannya di Taguig City.

Jaycel juga menafikan dakwaan kerajaan Filipina bahawa ia telah melakukan segala-galanya untuk menyelesaikan krisis di Lahad Datu.

Kata beliau, isu itu akan berterusan sehinggalah ketiga-tiga pihak — waris Kesultanan Sulu, kerajaan Filipina dan kerajaan Malaysia — duduk merundingkan isu kedaulatan Sabah.

Malaysia menolak tuntutan kedaulatan itu dan menganggapnya isu yang telah selesai sejak Sabah memilih untuk membentuk Malaysia pada 1963.