TANJUNG MALIM: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini berkenan berangkat ke Majlis Berbuka Puasa dan Perasmian Masjid Al-Ikhwan yang terletak Taman Bernam Baru di sini.

Ketibaan Baginda pada pukul 6.50 petang disambut oleh Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Mufti Perak, Datuk Dr Wan Zahidi Wan Teh.

Baginda kemudiannya berkenan menanam pokok di perkarangan bangunan sebelum merasmikan masjid itu, diikuti bacaan doa perasmian dan menghayati bacaan ayat suci al-Quran oleh Imam Daerah Muallim, Mohd Arif Hassan pada majlis tahlil dan doa selamat.

Sultan Nazrin kemudian mencemar duli berbuka puasa bersama lebih 500 jemaah dan menunaikan solat Maghrib berjemaah di masjid yang siap dibina pada Oktober 2020 itu, sebelum berkenan berangkat ke majlis santapan, diikuti dengan solat Isyak serta solat Terawih.

Baginda berangkat pulang kira-kira pukul 9.50 malam selepas sesi bergambar.

Blok bangunan Masjid Al-Ikhwan mula dibina bermula pada 13 Disember 2016 meliputi dewan solat utama, bilik Imam, tempat wuduk wanita dan lelaki, bilik tandas Orang Kurang Upaya, bilik urus jenazah dan pejabat pentadbiran, bilik tamu serta bilik mesyuarat.

Masjid yang mempunyai ruang solat dengan kapasiti 1,500 jemaah itu dibina dengan kos pembinaan RM6.6 juta turut menyediakan kemudahan parkir berbumbung, kemudahan internet dan peralatan rakaman siaran langsung berkualiti definisi tinggi (HD).

-- BERNAMA