Semua masjid di Johor akan mengadakan solat hajat selepas solat Jumaat hari ini bagi memohon perlindungan Allah kepada anggota keselamatan yang sedang berjuang mempertahankan kedaulatan negara yang dicerobohi di Sabah.

Solat hajat sama juga akan dibuat setiap hari selepas solat Maghrib sehingga krisis pencerobohan itu selesai.

Solat hajat itu didirikan atas titah arahan Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar kepada Jabatan Agama Islam negeri.

Baginda bertitah demikian pada satu sidang media di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru pada petang Khamis.

Baginda turut mengucapkan takziah kepada keluarga lapan anggota polis yang terkorban demi mempertahankan negara.

Dalam pada itu, Sultan Ibrahim berharap semua anggota keselamatan terlibat sentiasa berhati-hati semasa menjalankan tugas.