KUCHING: Satu rekod temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 diperbaharui semalam dalam acara 50 meter (m) Raifal 3 Posisi individu wanita berlangsung di Lapang Sasar Sarawak di sini.

Penembak Negeri Sembilan Gan Chen Jie yang meraih pingat emas mencatatkan 574 mata, meleburkan rekod milik penembak Perak Nurul Syafani Nabilah Abdul Razak yang melakukan bidikan 569 mata pada edisi 2022 di Kuala Lumpur.

Sementara itu, tuan rumah terus cemerlang dengan 13 pingat emas setakat 11.30 malam ini untuk mengungguli carta pungutan pingat.

Sarawak diekori rapat Wilayah Persekutuan yang mengumpul sembilan emas diikuti Terengganu dengan lapan emas, Pulau Pinang (enam).

Sebanyak 35 pingat emas akan dipertandingkan hari ini, membabitkan sukan karate yang menawarkan lapan emas, taekwondo dan menembak masing-masing enam manakala memanah dan golf, empat.

Skuasy, petanque dan tenpin boling menawarkan dua emas manakala satu dalam acara gimrama untuk direbut oleh atlet bertanding.

-- BERNAMA