Sudah jatuh ditimpa tangga!

Itulah nasib seorang lelaki warganegara China yang terjatuh dari tangga ketika melakukan kerja-kerja di dek kapal kargo Cosco Fukuyama pada petang Jumaat.

Mangsa yang dikenali sebagai Lu Xian, 28, merupakan kelasi di atas kapal tersebut dan mengalami kecederaan patah kaki kiri akibat kemalangan berkenaan.

Pengarah Maritim Negeri, Kapten Maritim Abu Zaki Mohammad berkata pihaknya menerima laporan kecemasan tentang kejadian tersebut ketika aset kapal peronda digerakkan ke lokasi kapal di Pintu Gedung.








“Maritim Malaysia Selangor menerima aduan kejadian tersebut lalu menghantar kapal peronda ke lokasi kapal di Pintu Gedung.

“Namun, keadaan laut yang bergelora menyukarkan Kapal Maritim Danga untuk merapat. Oleh itu, mangsa hanya dipindahkan ke atas bot RHIB milik kapal maritim sebelum diangkat ke atas kapal,” katanya.




Mangsa dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah sebelum menerima rawatan lanjut di Pusat Perubatan Sri Kota, Klang pada sekitar jam 10.10 malam Jumaat.