KUALA LUMPUR: Polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan adik perempuan kepada bekas penyerang Harimau Malaya, Hadin Azman, yang hilang sejak 25 Februari lalu .

Nur Khalisya, kali terakhir dilihat di hadapan Sekolah Menengah Convent, Jalan Peel, di sini dengan memakai baju rumah sukan berwarna biru, seluar trek hitam dan tudung sekolah putih.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad LazimI smail, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan remaja berusia 16 tahun itu yang kali terakhir dilihat pada jam 5 petang 25 Februari lalu.

Menurutnya, laporan itu dibuat ibu remaja itu yang berusia 44 tahun pada pukul 11.29 malam hari sama memaklumkan menghantar anaknya ke sekolah itu kira-kira pukul  7 pagi.

Dalam laporannya, ibu mangsa memaklumkan dia datang semula ke sekolah pada pukul 4 petang untuk mengambil anaknya pulang kerana remaja itu memaklumkan mempunyai kelas tarian.

"Namun setelah menunggu hampir 40 minit anaknya tidak ada dan pengawal keselamatan sekolah juga memaklumkan tiada pelajar ynag berada di sekolah pada waktu itu.

"Pengadu kemudian menghubungi rakan sekelas anaknya dan dimaklumkan anaknya sudah pulang ke rumah sendirian dengan berjalan kaki pukul 5 petang dari kawasan Taman Permainan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Laksamana Jalan Peel, di sini," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi IPD Wangsa Maju di talian 03-92810715 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.

Terdahulu, Hadin memaklumkan mengenai kehilangan adiknya itu dan memaklumkan ahli keluarga dan rakan-rakannya menggerakkan usaha mencari Nur Khalisya dengan menyebarkan poster di media sosial bagi mendapatkan bantuan orang ramai.

Menurutnya, sehingga kini tiada sebarang perkembangan mengenai adik perempuannya itu.