KOTA KINABALU: Subsidi dikeluarkan kerajaan untuk rakyat di seluruh negara termasuk elektrik, minyak dan makanan dijangka mencecah RM81 billion tahun ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata walaupun angka itu dilihat tinggi, mengurangkan jumlah subsidi itu tanpa melihat kepada keperluan rakyat bukan satu pilihan kepada kerajaan bagi memastikan rakyat tidak terbeban terutama dengan kos sara hidup masa kini.
Justeru, katanya rasionalisasi subsidi yang sedang dilaksanakan kerajaan kini adalah penting dalam memastikan rakyat dapat dibantu dan ekonomi negara sentiasa kekal ampuh.
"Subsidi ini campur tangan kerajaan untuk kurangkan beban rakyat. Subsidi untuk ayam dan telur pula RM3.8 billion, tetapi kurangkan subsidi bukan pilihan kerana ia membebankan rakyat jadi perlu dasar lebih ampuh kurangkan (subsidi) iaitu rasionalisasi subsidi.
Dengan jumlah subsidi (tinggi) tidak ada negara mampu bertahan, akan ada yang kurangkan," katanya berucap merasmikan Konvensyen Pengurusan Hal Ehwal Islam Sempena Ijtimak Perdana Agensi Agama Seluruh Malaysia (IJPAM) 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini malam ini.
Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai'm Mokhtar.
IJPAM 2023 yang berlangsung dari 30 Sept hingga esok menyaksikan penyertaan 1,837 peserta daripada pelbagai agensi hal ehwal Islam peringkat Persekutuan dan negeri dari seluruh negara.
Anwar berkata menerusi langkah rasionalisasi itu subsidi elektrik untuk satu peratus kumpulan rakyat terkaya telah dibatalkan, namun ia tidak akan membebankan kerana 99 peratus rakyat tidak akan terkesan.
Perdana Menteri berkata baru-baru ini beliau juga meminta Lembaga Tabung Haji (TH) supaya mengkaji semua subsidi bagi kos mengerjakan haji untuk golongan kaya yang mana kos subsidi golongan itu akan dapat dimanfaatkan semula kepada golongan yang lebih memerlukan.
"Rasionalisasi ini saya minta kepada masyarakat Muslim, paling kaya tidak diberikan subsidi bagi bantu jemaah lain ia diterima baik. Ada 400 orang jemaah yang layak subsidi (haji) menolak subsidi supaya tidak bebankan orang lain bayar kos haji," katanya.
Anwar berkata ramai yang mengulangi kenyataannya pada 2008 menyebut "hari ini menang, esok harga minyak turun" dan beliau menjelaskan pada tahun itu harga minyak di negara ini lebih tinggi daripada negara pengeluar minyak seperti Arab Saudi.
"Sekarang kos meningkat berkali ganda, harga minyak di Arab Saudi lebih tinggi dari Malaysia, Brunei rendah sikit. Tampungan, dukungan dan sokongan subsidi (minyak) ini kita bantu rakyat. Kita jelaskan hal ini terutama kepada rakyat, kita ikhlas dan bertanggungjawab tidak payah politikkan isu ini," katanya.
Sementara itu katanya langkah kerajaan memberikan subsidi RM950 bagi setiap tan metrik beras putih import (BPI) kepada Sabah dan Sarawak adalah penting dalam usaha membantu rakyat terutama golongan miskin di negeri itu.
"Tidak mungkin kita mahu lihat rakyat Sabah miskin ini terbeban dengan harga beras melambung tinggi ada tempat harga beras itu RM45, RM41, RM39 (pek 10 kilogram) jadi dengan subsidi ini kita dapat turunkan harga kepada RM31 kita kurangkan beban dan tekanan rakyat," katanya.
Beliau berkata bagi kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak mekanisme bagi memastikan harga beras itu tidak melambung akibat kos pengangkutan akan dibincangkan dan dicari bagi membantu rakyat di kawasan berkenaan.
Dalam pada itu Anwar mengucapkan terima kasih kepada 12 wakil rakyat dan pemimpin daripada Pakatan Harapan (PH) Sabah yang telah menarik balik saman kepada Kerajaan Persekutuan berhubung pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
"Sejak kita ambil alih kerajaan, Ketua Menteri (Hajiji) sedia maklum saya telah arahkan sedaya upaya kita untuk laksanakan apa yang kita janjikan. Saya beri jaminan, hubungan dan kerjasama erat dengan sahabat saya Datuk Seri Hajiji kita akan terus meningkatkan usaha dan mendengar apa-apa langkah lain yang dinyatakan," katanya.
-- BERNAMA
Bernama
Wed Oct 04 2023
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menekan butang pada simbolik pelancaran Konvensyen Pengurusan Hal Ehwal Islam sempena Ijtimak Perdana Agensi Agama Seluruh Malaysia (IJAM 2023), hari ini. - Foto BERNAMA
Pengurus projek didakwa tiga pertuduhan rasuah
Seorang pengurus projek sebuah anak syarikat konsesi lebuh raya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, atas tiga pertuduhan menerima rasuah bernilai RM50,000 membabitkan projek pembinaan lebuh raya.
Tol musim perayaan: Kerajaan teliti mekanisme untuk B40, M40 - PM Anwar
Kerajaan sedang meneliti mekanisme terbaik bagi pemberian tol percuma pada musim perayaan kepada golongan B40 dan M40.
Hanya kes tertentu, JPJ boleh batal lesen memandu OKU
JPJ tidak boleh sewenang-wenangnya membatalkan lesen memandu individu hanya disebabkan OKU
Samsung sahkan kerjasama bangunkan cermin mata pintar dengan Google
Cermin mata ini dijangka dilengkapi kamera dan kemampuan pemahaman multimodal AI dari Google Project Astra.
Produk gula-gula Apple S dikesan mengandungi bahan terlarang sibutramine - KKM
Produk gula-gula jenama Apple S dikesan mengandungi sibutramine iaitu sejenis ubat yang digunakan untuk mengawal selera makan.
HAWANA jadi platform himpunkan organisasi media seluruh ASEAN - Fahmi
HAWANA akan menjemput pengamal media dari ASEAN untuk beberapa program sempena kepengerusian ASEAN oleh Malaysia.
Gaji permulaan RM1,700 boleh bersara dengan simpanan RM1 juta jika konsisten - KWSP
Caruman secara konsisten ke dalam tabung KWSP boleh menjamin persaraan yang selesa walaupun dengan gaji permulaan yang rendah.
Gempa bumi berukuran 6.1 magnitud gegar selatan Filipina
Gempa tektonik berkenaan berpotensi mencetuskan gegaran susulan dan menyebabkan kerosakan.
Perancis keluarkan waran tangkap terhadap Bashar
Dua majistret penyiasat Perancis telah mengeluarkan waran tangkap terhadap bekas Pemimpin Syria, Bashar al-Assad, atas dakwaan bersubahat dalam jenayah perang, menjadikannya kali kedua tindakan sedemikian diambil oleh pihak berkuasa kehakiman negara itu.
Kelahiran bayi di Korea Selatan pada November tertinggi dalam 14 tahun
Menurut Statistik Korea, seramai 20,095 bayi dilahirkan pada November 2024, menandakan peningkatan 14.6 peratus berbanding 17,530 kelahiran dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Subsidi negara dijangka cecah RM81 bilion tahun ini - PM Anwar
Subsidi dikeluarkan kerajaan untuk rakyat di seluruh negara termasuk elektrik, minyak dan makanan dijangka mencecah RM81 bilion tahun ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.