Berang ditanya tidak balik rumah beberapa hari, seorang lelaki telah memukul isterinya sehingga menyebabkan kecederaan, di Taman Tunku Sabtu lepas.

Ketua Polis Miri ACP Khoo Leng Huat berkata, dalam kejadian 11.30 pagi itu, suspek, 26, yang bekerja di syarikat peminjam wang memukul isterinya yang berusia 24 tahun sehingga menyebabkan tangan mangsa bengkak akibat kecederaan.

"Punca kejadian mangsa bertanya dengan suspek kenapa tak balik rumah beberapa hari dan kenapa kereta dipandu suspek mengalami kemalangan, suami mangsa marah lalu menendang barang dan menghempas meja," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Khoo berkata mangsa yang juga seorang suri rumah mendakwa kejadian tersebut bukan kali pertama berlaku dan kerana sudah tidak tahan dengan sikap suaminya yang sering mengamuk di rumah, mangsa membuat laporan polis dan suspek ditahan semalam dengan permohonan tahanan reman akan dibuat pada hari ini.

Pasangan itu berkahwin sejak 2009 dan mempunyai tiga anak.

Dalam perkembangan lain, Khoo berkata polis menahan seorang pemuda berusia 32 tahun kerana disyaki mencabul seorang wanita berusia 34 tahun di Bandar Baru Permyjaya pada 2 pagi semalam.

"Suspek ditangkap pada 5.20 petang semalam," katanya sambil menambah suspek telah memasuki bilik tidur mangsa dalam keadaan mabuk dan meraba mangsa dari perut hingga ke dada serta mencium mangsa yang ketika itu sedang tidur bersama dengan anak-anaknya.

Beliau berkata mangsa dapat mengecam wajah suspek kerana suspek ialah teman lelaki jiran sebelah rumah dan telah mengarah suspek keluar dari biliknya serta-merta semasa kejadian itu.

-- BERNAMA