TIDAK dinafikan banyak negara telah melaksanakan penggabungan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) bersandarkan kepada rasional ‘lebih besar adalah lebih baik’.
Malaysia tidak terkecuali daripada mengikuti langkah penggabungan apabila Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan persetujuan kabinet terhadap penggabungan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
Penulis tidak bercadang untuk membuat kritikan terhadap keputusan tersebut kerana tidak mengetahui dengan jelas dan tepat, rasional serta hasil kajian jawatankuasa yang telah ditubuhkan. Namun, adalah penting untuk semua pihak meneliti elemen penting penggabungan universiti khususnya amalan terbaik daripada usaha penggabungan yang telah berjaya serta yang gagal, bagi memastikan proses penggabungan universiti di negara kita melalui proses yang sewajarnya.
Penggabungan universiti kebiasaannya melibatkan antara dua atau beberapa universiti yang mempunyai misi, profil akademik, program akademik, struktur organisasi, saiz pelajar dan ahli akademik yang hampir sama. Di samping itu, sejarah penubuhan universiti dalam aspek budaya akademik dan pengurusan adalah penentu kejayaan.
Universiti yang kurang berstrategi dan tidak mempunyai niche yang dikenali seharusnya bergabung dengan universiti yang lebih cemerlang. Selain itu, lebih mudah untuk mengabungkan universiti yang berfokus STEM dengan universiti yang bersifat komprehensif asalkan kedua-duanya mempunyai budaya penyelidikan yang kukuh.
Negara seperti Finland, Norway dan Denmark telah memulakan penggabungan universiti mereka. Di Denmark, bilangan universiti dikurangkan dari 12 hingga lapan dan pusat penyelidikan kerajaan disatukan ke sektor universiti. Finland pula menyaksikan penggabungan Helsinki School of Economics, Helsinki University of Technology and the University of Arts and Design untuk memastikan kecemerlangan sistem pendidikan tinggi selari dengan kecemerlangan pendidikan sekolahnya.
BACA: Gabung UMT, UniSZA perlu kajian menyeluruh
Sementara di Norway, penggabungan telah mengurangkan bilangan IPT daripada 33 pada 2014 hingga 21 pada tahun 2018. Jelasnya, antara tahun 2000-2010, sekitar 100 penggabungan telah direkodkan dalam 25 sistem pendidikan tinggi di Eropah. Di Amerika Syarikat pula, kebanyakan penggabungan melibatkan kolej teknikal dan kolej komuniti. Sebagai contoh, Washington State mengabungkan 29 kolej komuniti dengan lima institut TVET di bawah State Board for Community and Technical Colleges.
Di Asia, Taiwan sedang dalam proses menggabungkan National Taiwan University of Science and Technology, National Pingtung University of Science and Technology dan National Yunlin University of Science and Technology menjadi Taiwan University of Science and Technology.
Di United Kingdom, penggabungan antara Victoria University of Manchester (VUM) dan University of Manchester Institute of Science and Technology (UMIST) menjadi University of Manchester telah berjaya dilakukan kerana kedua universiti ini mempunyai sejarah dan hubungan kerjasama yang sangat baik. UMIST pada satu ketika adalah Fakulti Teknologi di VUM sebelum dinaik taraf sebagai universiti pada tahun 1955.
Melalui projek khas dipanggil Project Unity, sistem komunikasi diwujudkan untuk memastikan pihak berkepentingan dalaman terutama staf dan pelajar dilibatkan melalui mesyuarat, taklimat dan laman web khusus bagi memastikan penggabungan tercapai.
Satu penggabungan lain yang melibatkan dua universiti yang mempunyai tahap pencapaian yang sama adalah di antara London Guildhall and the University of North London yang membentuk London Metropolitan University. Begitu juga dengan kejayaan menggabung Cardiff University and the University of Wales College of Medicine.
BACA: Gabung universiti sentiasa bawa impak positif
Namun, beberapa usaha lain antara University College of London dan Imperial College, Aston University dan University of Birmingham dan Robert Gordon University dan University of Aberdeen di Scotland tidak berhasil. Sementara Australia membatalkan cadangan penggabungan University of Adelaide dan University of South Australia setelah meneliti laporan kajian oleh Pasukan Berkecuali.
Kajian berkaitan penggabungan universiti di UK mendapati bahawa walaupun penggabungan membawa kepada kecekapan tetapi hal ini hanya berlaku dalam dua tahun awal penggabungan sahaja. Malah, proses penggabungan melibatkan kos yang tinggi meliputi aktiviti penjenamaan semula, komunikasi, penambahbaikan infrastruktur, kos sinergi penstrukturan dan lain-lain. Sebagai contoh, penggabungan VUM dan UMIST melibatkan geran sebanyak 10 juta Pound daripada HEFCE’s Srategic Development Fund dan 10 juta Pound daripada Office of Science and Technology.
Secara terperinci, kajian oleh Burke & Biggart (2007) mendapati kegagalan penggabungan adalah disebabkan oleh berberapa faktor iaitu pertama, ketidak jelasan matlamat dan bagaimana mengukur prestasi; kedua, ketidak seimbangan kuasa dan kepentingan institusi yang terlibat, ketiga; ketidakseimbangan kepakaran, kewibawaan, atau prestij, keempat; tidak realistik terhadap kemampuan universiti dan pemimpin, kelima; rasional yang lemah terhadap pengagihan tugas/penstrukturan, keenam; tiada pelan risiko yang jelas. Semua faktor kegagalan ini berkait dengan tiga elemen utama, iaitu kepemimpinan, budaya dan komunikasi.
BACA: Penggabungan universiti sukar, setiap universiti ada visi, misi masing-masing
Penggabungan universiti mesti melibatkan sekurang-kurangnya tiga fasa, iaitu pra (apabila cadangan penggabungan dipertimbangkan tetapi belum diumumkan secara rasmi), semasa penggabungan (proses penggabungan dirancang selepas pengumuman rasmi) dan pasca (perlaksanaan). Pada tahap sebelum pengumuman rasmi, fokus perlu diberikan kepada pengumpulan dan analisis data, proses libatsama pihak berkepentingan dan iltizam politik.
Tempoh pra ini harus difokuskan kepada pembangunan visi dan model penggabungan, pengumpulan maklumat dan data mengenai proses dan implikasi penggabungan, membuat penilaian yang jelas berasaskan data prestasi institusi dan menyampaikan maklumat ini secara objektif kepada pihak berkepentingan melalui dialog atau bengkel.
Maksudnya, tahap ini memerlukan penglibatan secara aktif pihak berkepentingan untuk diberikan maklumat yang tepat tanpa mewujudkan situasi panik atau mencurigakan. Sekiranya cadangan penggabungan mendapat sokongan yang diperlukan, maka pengumuman penggabungan bersama visi dan cadangan model penggabungan serta tempoh boleh diumumkan. Tiada quick fix atau quick win.
Di negara di mana penggabungan universiti telah berjaya dilakukan, politik akademik dan politik parti tidak dilibatkan, selari dengan aspirasi autonomi dan kebebasan akademik.
* Penulis adalah Pengerusi Pertubuhan Pembangunan Penyelidikan dan Dasar Pendidikan Tinggi Malaysia (PenDaPaT) dan Profesor Pendidikan Tinggi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Prof Datuk Dr Norzaini Azman
Fri Sep 20 2019
Penggabungan universiti kebiasaannya melibatkan antara dua atau beberapa universiti yang mempunyai misi, profil akademik, program akademik, struktur organisasi, saiz pelajar dan ahli akademik yang hampir sama. - Gambar fail
Untung bersih Maybank naik 7.6 peratus kepada RM2.54 bilion pada suku ketiga
Keuntungan bersih Maybank meningkat 7.6 peratus kepada RM2.54 bilion pada suku ketiga berakhir 30 Sept 2024 berbanding RM2.36 bilion tahun lepas.
Naib Presiden Filipina disepina berkenaan ancaman terhadap Presiden Marcos Jr
Biro Penyiasatan Nasional menyerahkan sepina di pejabat Duterte dan meminta agar beliau hadir di hadapan pengarah biro pada Jumaat.
Hubungan Pas-Bersatu tunjuk bibit kelemahan - Fahmi
Beberapa isu dalaman yang melanda Perikatan Nasional (PN) ketika ini menggambarkan hubungan Pas dan Bersatu bagaikan 'retak menanti belah'.
Dasar baharu AS akan beri kesan hubungan dagang Australia-China
Dasar baharu bakal Presiden AS, Donald Trump bukan saja akan memberi kesan kepada hubungan negara itu dengan China, tetapi juga hubungan bilateral antara negara-negara lain di dunia.
Malaysia berjaya jumpa 'resipi' pertumbuhan ekonomi - Bloomberg
Portal itu berkata, Malaysia berjaya mengekalkan momentum pertumbuhan lebih panjang daripada China, dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya mengekalkannya lebih lama daripada tiga pendahulunya.
Pendapatan suku ketiga negara "mengecewakan", kata CIMB Securities
CIMB Securities menyuarakan kebimbangan apabila prestasi semakin banyak syarikat tempatan dilaporkandi bawah jangkaan, yang boleh menimbulkan risiko penurunan unjuran pendapatan FBM KLCI.
[TERKINI] Raih potensi pelaburan RM32.8 bilion, eksport RM1.3 bilion
RM32.8 bilion potensi pelaburan dan eksport dari Malaysia dengan nilai RM1.3 bilion berjaya diraih melalui lawatan kerja Perdana Menteri ke Korea Selatan.
Malaysia minta perolehan pesawat FA-50M dari Korea Selatan dipercepat - PM
Malaysia minta perolehan 18 unit pesawat pejuang ringan FA-50M yang ditempah daripada syarikat pertahanan Korea Selatan dipercepatlan.
Apa usaha kerajaan mempersiapkan diri dalam mendepani negara menua
Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali menyatakan persoalan tentang bagaimana persediaan pihak kerajaan dalam mempersiapkan diri dalam berdepan negara menua.
Ekonomi digital Malaysia tumbuh 16%
Menurut laporan E-conomy SEA 2024 oleh Google, Temasek dan Baian & Company, ekonomi digital Malaysia mencapai Nilai Dagangan Kasar (GMV) sebanyak AS$31 bilion atau sekitar RM141 bilion pada 2024.
Strategi penggabungan universiti perlu lebih bersistematik
Universiti yang kurang berstrategi dan tidak mempunyai niche yang dikenali seharusnya bergabung dengan universiti yang lebih cemerlang.